PRN Johor: Fikri bawa idea ‘muda’ dari MUDA untuk Parit Raja

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

SEBELUM ini, parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) seolah-olah hanya menonjolkan Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman semata-mata sebagai ikon parti. 

Namun begitu, MUDA sebenarnya mempunyai ramai pemimpin muda yang mempunyai latar belakang dan personaliti untuk diketengahkan. 

Sebagai contoh, calon MUDA bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Raja, Fikri Musa yang baru sahaja menginjak ke usia 28 tahun. 

Ikuti wawancara lima soalan UtusanTV bersama Setiausaha Jawatankuasa MUDA Johor itu mengenai pengalaman pertama kali bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. 

UTUSANTV: Pertama kali bertanding pada usia 28 tahun, apa perasaan dipilih sebagai calon?

FIKRI: Sejujurnya saya teruja tetapi dalam masa yang sama saya rasa gemuruh kerana saya sedar mempunyai pengalaman dalam politik hanya beberapa tahun sahaja. Saingan saya di sini semuanya sudah berpengalaman. Mereka mempunyai latar belakang hebat tetapi saya ambil ini sebagai satu cabaran dan cara yang bagus untuk ketengahkan bahawa kita sebagai anak muda boleh buat perkara dahulunya dipandang hanya orang tua-tua saja boleh lakukan perkara ini. Jadi orang muda lain lihat, mereka rasa okay. Orang ini boleh buat, kenapa tidak aku? Mungkin lebih ramai selepas ini wajah-wajah baharu dalam dunia politik. Itu akan menjadi suatu perkara yang sihat. Bila lebih ramai bermain dalam arena politik ini, lebih ramai yang akan bawa ideologi bagus. Itu bagus untuk rakyat sebenarnya.

UTUSANTV: Bakal bertembung calon yang berpengalaman iaitu penyandang DUN Parit Raja dari Barisan Nasional (BN) dan juga dua lagi calon Perikatan Nasional (PN) serta Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) apa strategi yang akan digunakan untuk menambat hati pengundi?

FIKRI: Seperti mana parti MUDA itu diasaskan yang berasaskan mengetengahkan politik dasar dan politik khidmat. Khidmat dahulu dan dasar. Jadi saya juga akan membawa perkara yang sama sebagai imej parti MUDA di Parit Raja. Saya yakin perkara itu amat  diperlukan oleh rakyat Parit Raja sendiri. Saya faham dan hormati pengalaman hebat pesaing saya. Saya faham rakyat Parit Raja ini ramai orang bijak. Mereka tahu apa yang mereka mahukan sebenarnya. Jadi saya tak takut perkara itu. Jadi apa yang saya boleh buat ialah saya amalkan satu politik yang sihat. Jadi kita bertembung pun tidak mengapa. Kita boleh bersemuka, gelak ketawa dan bertanya khabar, yang penting rakyat akan memilih siapa yang dirasakan terbaik. Itu kita serahkan kepada rakyat. Apa yang boleh kita buat, kita rancang yang terbaik.

Baca artikel berkaitan: PRN Johor: Perumahan, tanah dan bantuan jadi tumpuan Zulkifli

Calon Parti MUDA DUN Parit Raja, Fikri Musa (kiri) beramah mesra dengan orang ramai ketika berkempen di sekitar Parit Raja.

UTUSANTV: Selepas lebih seminggu berkempen, apa reaksi pengundi dan cabaran yang dihadapi?

FIKRI: Cabaran itu nak kata banyak sangat itu, tidak lah. Tapi tipulah kalau saya kata tiada. Alhamdulillah semuanya boleh kita lalui dengan efisien dan lancar. Cuma bagi rakyat Parit Raja ini, rata-ratanya suka kepada MUDA (walaupun) ada dari mereka yang berumur 50 tahun ke atas tidak mengenali MUDA (tetapi) mereka tahu dan lihat di Muar dan Bukit Mertajam (wakil rakyat) orang muda, mereka rasa macam ‘aku bagi dekat orang muda ini, dia orang rajin’. Jadi mengapa tidak jika pada kali ini, aku beri peluang kepada kau. Ikutkan aku tidak kenal sangat pun parti kau. Gayanya sebegitu. Mereka cuma hendak tahu siapa yang akan bertanding. Ada juga daripada mereka yang sudah tahu (MUDA), sebelum sempat saya perkenalkan diri. Mereka yang tolong bawa kita pergi berkempen berjumpa rakan-rakannya dan ke tempat lain. Respons tersebut sangat bagus di sini. 

UTUSANTV: Ada orang kata parti MUDA ini hanyalah parti untuk orang muda. Di Parit Raja pula bagaimana?

FIKRI: Pernah saya jumpa orang yang sedikit berumur bertanya soalan sebegitu. ‘Parti MUDA ini untuk orang muda sahaja ke?’. Jadi kita jelaskan tentang MUDA itu adalah satu singkatan nama dan jelaskan apa yang cuba kita bawakan. Bila mereka dengar, mereka suka dengan perkara tersebut. Rata-ratanya mereka kata kan ramai ahli politik, berpolitiknya bijak dan petah berkata-kata. Tetapi bila kerjanya, ada yang indah khabar dari rupa. Mereka mengharapkan MUDA ini membawa satu benda yang baru. Seperti mana namanya MUDA, bawakan politik yang muda, idea yang masih muda untuk orang Parit Raja.

UTUSANTV: Apa tawaran Fikri sebagai calon MUDA kepada pengundi di Parit Raja?

FIKRI: Secara umumnya, saya membawa ideologi parti yang membawakan politik khidmat dan dasar. Semua mereka yang bertanding dalam PRN kali ini, calon-calon MUDA membawakan ideologi yang sama. Apa yang saya cuba ketengahkan dan perbaiki lagi adalah beberapa perkara yang melibatkan industri kecil sederhana, infrastruktur di tempat pertanian dan rumah mampu milik. Istimewanya rumah mampu milik ini, kalau boleh kita tak mahu rumah mampu milik yang sama macam di Johor Bahru. Hal ini kerana, rata-ratanya orang Parit Raja ini anak-anak muda ramai. Anak-anak muda di sini mereka berkahwin dan berkeluarga pada umur yang awal, tetapi mereka tidak mempunyai rumah sendiri. Jadi saya rasa lebih baik kita bantu golongan sebegini dan cuba cari inisiatif untuk sediakan rumah yang lebih berpatutan. Rakyat Parit Raja ini, mereka lebih banyak berniaga. Mereka suka ada perniagaan sendiri. Di pekan Parit Raja pun ramai anak muda berniaga dan tahu mencari pendapatan sendiri tanpa bekerja dengan orang lain. Cuma mereka perlukan rumah dan tempat tinggal. 

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Gempa kuat landa Mindanao, gegaran dirasai di Semporna

GEMPA bumi kuat bermagnitud 6.8 melanda Mindanao, Filipina pada pukul 7.34 malam tadi. Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), gegaran turut...

More Articles Like This