Datuk Seri Hasni Mohammad.

PELANTIKAN Menteri Besar Johor hari ini mencetuskan persoalan apabila Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad hari ini membayangkan negeri itu bakal memiliki kepimpinan baharu.

Menerusi satu kenyataan beliau petang ini, pelbagai spekulasi timbul selepas tiga nama untuk calon Menteri Besar Johor termasuk beliau, diserahkan kepada Sultan Johor, Sultan Iskandar Sultan Ibrahim.

Menurut Hasni, beliau telah mencadangkan kepada kepemimpinan parti untuk memilih orang muda untuk memimpin negeri tersebut.

Setakat ini belum ada pengumuman rasmi siapa Menteri Besar Johor, bagaimanapun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi disebut-sebut dilantik memegang jawatan tersebut.

Berikut kenyataan penuh beliau:

Salam Sejahtera dan Salam Makmur Johor,

Alhamdulillah, syukur kehadrat Allah SWT kerana Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor telah berlangsung dalam keadaan harmoni dan lancar.

Tahniah kepada semua calon yang berjaya memenangi kerusi yang ditandingi masing-masing, sama ada daripada Barisan Nasional (BN), mahupun daripada parti-parti lain termasuk calon Bebas.

Dengan kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua ahli dan jentera komponen BN yang telah bertungkus lumus berkempen bagi memenangkan calon dan parti.

Kejayaan BN memenangi 40 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan adalah berkat kerjasama dan kerja keras semua pihak dalam menarik sokongan rakyat Johor.

Saya menghargai keprihatinan dan kepercayaan parti sepanjang menjayakan Pilihan Raya Negeri Johor ke-15, sehingga membawa kepada kemenangan besar Barisan Nasional di Johor.

Melihat sokongan dan kedudukan orang muda yang penting dalam pembangunan negeri Johor, dan demi kemakmuran negeri yang berpanjangan, saya mencadangkan agar pucuk pimpinan parti memilih orang muda untuk memimpin negeri Johor.

Kerajaan Negeri di bawah pimpinan saya telah berikhtiar sebaik mungkin untuk menjadikan negeri Johor berdaya tahan dalam mendepani cabaran-cabaran pandemik COVID-19.

InsyaAllah di bawah kepimpinan baharu, negeri Johor akan menjadi lebih makmur dan sejahtera. Seperti yang saya ucapkan pada malam kemenangan BN Johor tempoh hari, tiada ideologi politik, ahli politik dan parti politik yang lebih besar, lebih penting dan lebih
utama daripada Johor Darul Ta’zim. Kini merupakan masa untuk kita bersama-sama membina Johor yang lebih makmu
r.