Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menitahkan sesuatu kepada Onn Hafiz Ghazi sambil diperhatikan Hasni Mohammad selepas majlis angkat sumpah Menteri Besar Johor ke-19 di Istana Bukit Serene, hari ini./ Gambar FB Sultan Johor

UMNO dan Barisan Nasional (BN) Johor lulus ujian pertama mereka yang mengutamakan kestabilan apabila 40 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menyokong pemilihan Menteri Besar baharu yang mendapat perkenan Istana , kata Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

Walaupun calon yang sepatutnya, Datuk Seri Hasni Muhammad tidak dipilih semula menjawat Menteri Besar seperti yang diwar-warkan oleh parti sebelum ini selepas kejayaan besar BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas tetapi ia disambut baik oleh pemimpim parti itu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, BN yang memperjuangkan tagline “Kestabilan Demi Masa Depan’ dalam PRN itu menerima suatu ‘ujian yang berat’ selepas mendapat mandat daripada rakyat.

“Sekali lagi Hasni Muhammad memperagakan kepimpinan “par excellence “. Beliau tenang mengesyorkan Johor dipimpin oleh anak muda, demi masa depan,” katanya dalam kenyataan di Facebook miliknya hari ini.

BERITA BERKAITAN Kemelut MB baharu: Perwakilan Johor tidak ambil bahagian dalam Perhimpunan Agung UMNO

Katanya, Istana Johor membuktikan sesuatu yang sangat besar maknanya apabila memperkenankan pelantikan Datuk Onn Hafiz sebagai Menteri Besar baharu yang membuktikan negeri itu terlebih awal memikirkan masa depan dan memberi peluang kepada anak muda yang berkualiti tinggi untuk memimpin.

“Onn bukan anak muda yang mencari publisiti di media sosial, atau syok sendiri menabur janji tetapi beliau (merupakan ) manifestasi seorang anak muda yang berprestasi dan berkeperibadian tinggi,” katanya.

Annuar berkata, sementara itu, bekas Menteri Besar, Hasni kekal sebagai ketua parti yang terus disayangi dan dihormati sambil menyatakan pengorbarnan, kesetiaan dan kesabarannya pasti ada ganjaran.

“Yang penting BN telah lulus ujian pertama pentadbirannya, mengutamakan kestabilan demi masa depan. Pastinya semua 40 ADUN BN,menyokong kepimpinan YAB MB Johor yang baru.

“Lagi pun Onn Hafiz turut mewarisi darah keturunan pembesar Istana Johor yang setia. Tahniah, Selamat Berbakti kepada Bangsa Johor dan Negeri Johor DT,” katanya.