UMNO mesti kembali menjadi wakil politik bangsa Melayu yang benar-benar diyakini, dicari dan didambakan setiap masa.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO mesti menjadi ketumbukan politik terkuat Melayu, bukan sekadar parti terbesar dan tiada guna sorakan lebih 3 juta ahli tetapi dengan hanya 17 peratus perwakilan di Parlimen.
“Oleh itu, UMNO mesti mempunyai strategi dan sasaran yang jelas. Pertama menjadi parti politik terkuat dan paling dominan di Malaysia. Hanya parti terkuat dapat menjadi teras kepada kerajaan yang stabil.
“Jika parti kuat dan dominan, kepentingan bangsa Melayu dapat UMNO perjuangkan dengan berkesan. Tanpa boleh dirungut-rungut, tanpa boleh diugut-ugut,” katanya merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, malam ini.
Tambahnya juga, telah tiba masanya semua orang Melayu kembali ke pangkuan UMNO dan cukuplah bersaing dengan memudaratkan bangsa manakala yang telah tersasar kembali bersama UMNO.
BERITA BERKAITAN UMNO hanya akan berpakat dengan pihak mempunyai agenda bersama – Mohamad
“Mari kita bersatu dalam UMNO, jadikan ia satu-satunya wadah paling berpengaruh, paling kuat dan paling unggul untuk politik Melayu.
“Ambillah pengajaran dari kejayaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Johor serta semua Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelumnya.
“Bahawa UMNO itu adalah pilihan jelas orang Melayu. Parti Melayu lain walau dipimpin tokoh Melayu yang berpengaruh dan berjasa sekalipun, tidak akan dapat menggantikan UMNO. UMNO telah menjadi sebuah institusi Melayu, bukan sekadar sebuah parti politik,” ujarnya lagi.
Ulas Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, parti juga mesti memenangi pilihan raya dengan majoriti yang besar untuk membentuk kerajaan yang stabil.
“Berhentilah…tak payahlah menagih segala nyawa dan dukungan dari parti seteru kita, demi hendak menguruskan kerajaan. UMNO tidak boleh bergantung harap kepada kasihan dan belas orang lain.
“Kita mesti berdiri sendiri. Kita mesti yakin dengan pelan kita untuk Malaysia,” katanya.
Begitu juga pada pandangannya, UMNO mesti menampilkan kepimpinan kerajaan yang mendapat mandat yang padu, berwibawa dan mampu memacu pembangunan Malaysia dengan lebih berganda.
“Kepimpinan yang berprestasi dan berpengalaman. Yang boleh mengemudi Malaysia menjadi negara sederhana yang berpengaruh dan maju.
“Adalah sangat penting di mana dasar UMNO boleh diterjemahkan menjadi dasar kerajaan. Yang mana parti dan kerajaan akan seiring sejalan,” katanya.

