UMNO akan hanya menjalin kerjasama politik dengan pihak yang mempunyai asas ‘agenda bersama, demi masa depan bersama’ untuk dijadikan tunjang kepada pembentukan kerajaan jika memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, parti itu harus memutuskan secara strategik pihak manakah yang akan diajak berpakat dalam membentuk formula perkongsian kuasa kelak.

“UMNO mesti tahu dengan siapa kita harus berpakat. Mencari rakan, untuk membentuk kerajaan yang kuat selepas pilihan raya adalah strategik kepada kestabilan kerajaan,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO 2021 malam ini.
Beliau berkata, pakatan itu bukan sahaja akan membentu kerajaan yang kuat tetapi inklusif, terutamanya melalui jalinan kerjasama erat dengan pelbagai parti, termasuk dari Sabah dan Sarawak.
“Namun siapa yang kita mahu ajak berpakat? Siapa pula yang kita mahu tolak sekeras-kerasnya? Dan apa pula yang menjadi pertimbangan utama kita dalam memutuskan siapa lawan dan siapa kawan?,” katanya sambil menyatakan kesepakatan komponen parti Barisan Nasional (BN) ketika ini adalah pada tahap yang sangat baik.
Menurut Mohamad, beliau meramalkan bahawa kerjasama politik selepas PRU-15 bagi maksud membentuk kerajaan yang kuat mesti bersandarkan ‘A Common Agenda for A Common Future” (Agenda bersama demi masa depan bersama).
“Ia berpandukan agenda (agenda based) dan bukan bersandarkan pakatan (‘partnership based’).
“Cukuplah dengan penubuhan segala bentuk perikatan, barisan, pakatan dan gabungan. Semua itu hanyalah kosmetik. Tidak disandarkan kepada satu agenda bersama demi Malaysia yang lebih baik. Tetapi sekadar tolak ansur politik demi mahu berkongsi kuasa,” tambahnya.
Beliau berkata, kerjasama ini memerlukan keunggulan politik dan hikmah yang bukan hanya berdasarkan tangkap muat seperti pembentukan Perikatan Nasional (PN) yang mengambil sesiapa sahaja yang berada di hadapan.
“Yang pasti, kita tidak akan mengajak berpakat parti yang secara terang-terangan ditubuhkan untuk menggantikan UMNO. Apalagi DAP dengan agenda cauvinismenya.
“Dan kepada si mata keranjang, yang bermain pelbagai kolam, mendambakan keuntungan dari semua dan berasmara dengan pelbagai musuh UMNO tetapi pada waktu sama cuba bercinta dengan UMNO, pendirian UMNO ialah ‘Tidak pada yang curang’ dan ‘Hanya pada yang setia’!,” tambahya – UtusanTV

