AKTIVITI sukan dan kokurikulum di luar bilik darjah akan dibenarkan mulai sesi akademik 2022/2023 yang akan bermula Isnin ini, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.
Beliau berkata, kebenaran itu diberikan hanya bagi aktiviti dalam kawasan sekolah sahaja, dan garis panduan serta aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 berhubung kebenaran itu akan diumumkan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam masa terdekat.
“Sudah pasti ini berita gembira buat anak-anak kita yang selama ini hanya berada dalam bilik darjah sahaja. Kita ingin memberi peluang kepada murid dan guru untuk membiasakan diri dengan fasa transisi hidup bersama virus COVID-19 sebelum beralih ke fasa endemik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Pingat Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Pendidikan (KPM), hari ini.
Baca artikel berkaitan: Tarikh semak tawaran kemasukan ke sekolah khusus 15 Mac ini – KPM
Pada 10 Jun tahun lalu, KPM menetapkan bahawa sebarang aktiviti sukan, kokurikulum dan perhimpunan di sekolah tidak dibenarkan susulan pandemik COVID-19.
Sementara itu, merujuk kepada rancangan penyediaan lokar di sekolah rendah bagi menangani isu beg murid yang berat, Radzi berkata KPM dalam proses mengenal pasti spesifikasi lokar, bagi menentukan jenisnya, dan memastikan kualiti terbaik bagi membolehkan ia digunakan untuk jangka panjang.
“KPM sedang berusaha menjalankan proses pemasangan secepat mungkin setelah kita kenal pasti lokasi sesuai di kawasan sekolah, namun ada tatacara serta proses yang perlu dipatuhi,” katanya.
Pada 6 Mac lepas, Radzi mengumumkan penyediaan lokar di sekolah rendah yang akan dilaksanakan secara berfasa mulai tahun ini sebagai pendekatan menangani isu beg murid yang berat.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

