GAJI para suami akan dibekukan sekiranya mereka ingkar kepada perintah Mahkamah Syariah untuk membayar tuntutan nafkah isteri masing-masing.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu dilakukan bagi memastikan hak para wanita kekal terjamin biarpun selepas diceraikan oleh suami mereka.
Menurut Perdana Menteri, banyak kes melibatkan kegagalan pembayaran nafkah berlaku walaupun mahkamah telah mengeluarkan perintah.
“Apabila kes wanita menang kes tuntutan nafkah di mahkamah, banyak suami yang ingkar dengan perintah mahkamah.
“Jadi, bagi menjaga kepentingan wanita, kita membuat keputusan bank-bank suami akan dibekukan akaun mereka,” katanya.
Baca artikel berkaitan: Beri ruang, peluang Perdana Menteri tangani isu rakyat
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungannya pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang berakhir hari ini.
Perdana Menteri menambah, kerajaan juga akan mengarahkan bank-bank terlibat supaya membuat pembayaran secara terus kepada isteri yang mendapat perintah daripada mahkamah.
“Sebagai contoh, sekiranya suami perlu membayar RM1,000 sebulan, jumlah itu akan ditolak terus daripada akaun suami dan dimasukkan terus ke dalam akaun isteri,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

