SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memberi perkenan untuk melancarkan buku bertajuk Pilihan Raya Demokrasi Malaysia hari ini.
Baginda bertitah, buku yang mengandungi 15 bab dan 760 halaman itu merupakan satu dokumentasi yang merekodkan pelbagai aspek dalam pilihan raya.
Titah baginda, aspek yang terkandung dalam buku tersebut merangkumi sejarah, perundangan, proses, ulasan, pandangan dan saranan dalam pilihan raya.
Sultan Nazrin turut memilih menyentuh lima perkara memandangkan latar belakang baginda yang mempunyai pengalaman peribadi sebagai seorang pemerhati selain terlibat memenuhi peranan dan tanggungjawab Raja Berperlembagaan.
“Pertama, Keanggotaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang wajib menjunjung titah ketaatsetiaan dengan menguruskan pilihan raya secara yang boleh dipercayai, bebas dan adil.
“Kedua, pengurusan pilihan raya yang mencerminkan tahap pemikiran, tahap intelek, tahap kematangan, tahap meluhurkan perlembagaan dan tahap mendaulatkan undang-undang, juga tahap integriti, keikhlasan dan amalan ketelusan pentadbiran sesebuah negara.
“Ketiga, tanggungjawab politik yang mana memilih kerajaan ialah urusan yang serius
kerana nasib rakyat dan negara bergantung pada mereka yang diberikan kuasa untuk
membentuk kerajaan.
“Keempat, tanggungjawab membina negara-bangsa. Negara -bangsa ditakrif sebagai negara berdaulat yang didiami oleh sesuatu bangsa.
“Kelima, Majlis Raja-Raja. Amatlah relevan untuk Majlis Raja-Raja dirunding oleh Yang di-Pertuan Agong dalam urusan melantik Pengerusi dan ahli-ahli SPR,” titah baginda.

Baca artikel berkaitan: Sultan Perak Berkenan Lancar Sambutan 100 Tahun SITC-MPSI-IPSI-UPSI
Baginda bertitah, buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia adalah penerbitan yang dihasilkan oleh Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman bersama Dr. G. Manimaran.
Titah baginda, Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman telah menyuratkan apa yang tersirat, mendokumentasikan tacit knowledge berasaskan pengalaman lebih tiga puluh tahun berkhidmat di SPR.
Manakala Dr. G. Manimaran ialah seorang wartawan yang berpengalaman membuat liputan politik dan pilihan raya sejak tahun 1991 selain dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya.
“Penerbitan yang dihasilkan ini bertujuan mengilmukan rakyat supaya lebih berpengetahuan dan lebih memahami peranan mereka sebagai pengundi.
“Sedarilah kejayaan mahupun kegagalan sesebuah kerajaan bermula dengan sikap, bermula dengan budaya, bermula dengan nilai, bermula dengan harga diri yang mempengaruhi pertimbangan pengundi ketika memilih pemimpin,” titah baginda.


Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

