Semua mangsa terlibat maut di tempat kejadian. Gambar: Media Sosial

Empat maut termasuk seorang rentung dalam kemalangan melibatkan kereta jenis Nissan Almera dan Proton Wira di Kilometer 58.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, dekat Pendang, awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Sayani Saidon berkata, identiti lelaki yang memandu kereta Nissan Almera, yang rentung dalam kejadian pada kira-kira pukul 2.20 pagi itu masih belum dikenal pasti.

Beliau berkata tiga lagi yang meninggal dunia di tempat kejadian terdiri daripada Mohammad Syafiq Kassim, 26 dan Shahrin Hafi Omar, 49, serta seorang wanita hanya dikenali sebagai Arni, 52, yang menaiki kereta Proton Wira.

“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pendang dan BBP Jalan Raja telah dikerahkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.22 pagi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Baca artikel berkaitan: Pemandu Toyota Hilux ditahan bantu siasatan buli jalan raya

“Kemalangan melibatkan dua kereta dan empat mangsa. Terdapat seorang mangsa di dalam kereta Nissan Almera yang terbakar 90 peratus dan tiga mangsa di dalam kereta Proton Wira yang terbalik,” tambahnya.

Sayani berkata kesemua mangsa dalam Proton Wira berjaya dikeluarkan antara pukul 4.07 dan 4.52 pagi, manakala mangsa yang rentung di dalam kereta Nissan Almera pula berjaya dikeluarkan pada pukul 5.43 pagi.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Pendang Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada kira-kira pukul 2.30 pagi.

Menurutnya siasatan awal mendapati kereta Proton Wira yang dipandu seorang lelaki dipercayai hilang kawalan dan berpusing sebelum melanggar kereta Nissan Almera yang dipandu seorang lelaki.

Beliau berkata kereta Proton Wira itu kemudian telah terbabas dan melanggar penghadang jalan sebelum terbalik, manakala kereta Nissan Almera pula telah terbakar.

“Kesemua yang terlibat maut di tempat kejadian. Polis sedang mencari waris mangsa dan sesiapa yang kehilangan ahli keluarga boleh menghubungi Inspektor Muhammad Atiq Elias dengan menelefon 012-7778761 atau 04-7592122,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram