ARENA bola sepak negara kehilangan sebutir permata apabila bekas kapten pasukan Penang FA dan Melaka United, Mohd. Azizan Baba, 41, meninggal dunia pagi tadi.
Difahamkan, Allahyarham Mohd. Azizan telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka sebelum ini untuk mendapatkan rawatan.
Allahyarham sebelum ini mengalami kecederaan hamstring sebelum disahkan menghidap kanser.
Sepanjang karier beliau, Allahyarham pernah mewakili Johor FC, Melaka United, Penang FA dan Sarawak.
Allahyarham turut pernah menjadi jurulatih pasukan bola sepak Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) yang beraksi di Liga M3 sebelum ini.
Beliau meninggalkan seorang balu dan lapan anak berusia dua tahun sehingga 15 tahun.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

