SEBANYAK 207 laporan kesan advers susulan imunisasi (AEFI) telah diterima Kementerian Kesihatan (KKM) melibatkan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang telah memperoleh vaksin COVID-19.
Jumlah berkenaan adalah bersamaan 167 laporan bagi setiap satu juta dos dengan sehingga 18 Mac lalu, sebanyak 1.239 juta dos vaksin telah diberikan kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.
Pengarah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Dr. Roshayati Mohamad Sani berkata, kadar pelaporan AEFI bagi kanak-kanak itu adalah lebih rendah berbanding kadar keseluruhan pelaporan setakat ini iaitu 378 bagi setiap sejuta dos.
Bagaimanapun, beliau berkata, majoriti atau 97 peratus daripada laporan bagi golongan kanak-kanak itu adalah melibatkan kesan tidak serius.
Menurut beliau, kesan paling kerap dilaporkan termasuk demam; stres terhadap suntikan atau proses vaksinasi; reaksi kegatalan pada kulit; pening dan sakit kepala.
Dr. Roshayati memaklumkan, hanya tujuh laporan AEFI serius telah diterima membabitkan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun itu.
“Enam kes serius adalah yang memerlukan kemasukan ke wad untuk rawatan dan pemantauan lanjut dengan kesemuanya telah discaj yang mana dua kes telah pulih sepenuhnya manakala empat lagi dalam proses pemulihan.
“Satu kes pula melibatkan laporan kes kematian di luar fasiliti kesihatan atau brought-in-dead (BID) dan masih dalam siasatan lanjut.
“Hubung kait antara kes kematian dan vaksin juga masih belum ditentukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: 36 peratus kanak-kanak di Malaysia terima vaksin Covid-19 – COVIDNOW
Mengulas lanjut, Dr. Roshayati berkata, kadar pelaporan AEFI dalam kalangan penerima vaksin golongan kanak-kanak itu juga setara dengan kadar di negara lain seperti Kanada dan Australia.
Sementara itu, Dr. Roshayati memaklumkan, secara keseluruhan Sistem Pelaporan AEFI NPRA telah menerima 25,833 laporan yang perlu dinilai termasuk 1,448 laporan melibatkan dos penggalak.
Hasil penilaian ke atas laporan itu, katanya, 93 peratus atau 24,039 adalah bagi kes-kes yang tidak serius dengan kesan biasanya akan pulih dalam masa satu hingga dua hari.
Dr. Roshayati berkata, terdapat 1,794 laporan bersamaan 26 bagi setiap sejuta dos dikategorikan sebagai serius.
“Semua laporan serius yang diterima ini memerlukan penyiasatan lengkap dan penilaian terperinci sebelum hubung kait kesan yang dilaporkan serta vaksin yang diterima dapat ditentukan.
“Jumlah laporan AEFI serius yang diterima ini termasuk 607 laporan melibatkan kematian dalam kalangan penerima vaksin COVID-19.
“Sebanyak 460 laporan daripadanya telah selesai penyiasatan dan penilaian yang mana tiada kes kematian dilaporkan mempunyai hubung kait secara langsung dengan vaksin manakala 147 kes lagi masih dalam proses penyiasatan sebelum dinilai Jawatankuasa Khas Farmakovigilans Vaksin COVID-19 (JFK),” jelas beliau.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

