MALAYSIA dan Singapura bersetuju membuka sempadan darat kedua-dua negara bagi pengembara yang telah lengkap vaksinasi mulai 1 April ini.
Pejabat Perdana Menteri Malaysia dan Singapura dalam kenyataan bersama memaklumkan, pembukaan untuk merentas sempadan darat itu tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian COVID-19 termasuk ujian prapelepasan dan semasa ketibaan.
Menurut kenyataan itu, keputusan itu dicapai menerusi panggilan telefon antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, hari ini.
Katanya, kedua-dua Perdana Menteri mengakui bahawa Malaysia dan Singapura telah menunjukkan perkembangan memberangsangkan khususnya dalam pelaksanaan program vaksinasi serta pengurusan pandemik COVID-19 bagi penduduk negara masing-masing.
Malah, kedua-dua Perdana Menteri juga mengambil maklum kemajuan dicapai dalam meneruskan perjalanan rentas sempadan melalui Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) udara dan darat.
“Sejajar dengan peralihan kehidupan fasa mendepani pandemik COVID-19, kedua-dua pemimpin telah bersetuju bahawa sudah tiba masanya untuk membuka sempadan darat kedua-dua negara bagi pengembara yang telah lengkap vaksinasi.
“Ini adalah terpakai ke atas semua kategori pengembara dan jenis pengangkutan darat,” jelas kenyataan itu hari ini.
Baca artikel berkaitan: Buka sempadan: Imigresen sediakan 970,000 buku pasport untuk pembaharuan
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Malaysia yang akan membuka sempadan kepada pengembara antarabangsa bermula 1 April ini melakar satu lagi kejayaan penting dalam memudahcara perjalanan rentas sempadan dengan jiran terdekat iaitu Singapura.
“Pengumuman hari ini mencerminkan hubungan baik, kerjasama pelbagai aspek dan hubungan kukuh antara rakyat kedua-dua negara.
“Ini pastinya akan menyumbang kepada usaha-usaha pemulihan dengan impak positif ke atas ekonomi dan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara,” katanya.
Dalam pada itu, Hsien Loong memaklumkan, Singapura dan Malaysia menikmati hubungan yang mendalam, mesra dalam pelbagai aspek serta hubungan antara rakyat yang kukuh.
“Pengumuman hari ini merupakan peristiwa penting dalam peralihan kita ke arah kehidupan dengan COVID-19.
“Ia mencerminkan kerjasama kukuh yang dinikmati kedua-dua pihak sepanjang pandemik ini dan akan membantu kedua-dua negara muncul lebih kuat daripada krisis ini,” jelas beliau.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

