DATUK Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tiada guna lagi untuk kerajaan terus berpegang kepada perjanjian memorandum persefahaman (MoU) yang sebelum ini dipersetujui secara bersama dengan pembangkang.
Menurut Presiden UMNO itu, hal itu selepas pembangkang dengan sengaja menggagalkan usul yang dibawa kerajaan untuk melanjutkan tempoh tahanan di bawah seksyen 4(5) SOSMA 2012 petang semalam.
Ujar beliau, kegagalan usul semalam secara tidak langsung menunjukkan pembangkang telah memungkiri janji, melanggar persetujuan dan mengabaikan komitmen mereka sebelum ini.
“Jika kita merujuk kepada MoU antara kerajaan dan pembangkang, Perkara 3 dengan jelas menegaskan pihak pembangkang hendaklah bersetuju, atau berkecuali, dalam apa-apa usul yang dibawa oleh Kerajaan.
“Begitpun, selepas kegagalan usul semalam, keadaan ini mencerminkan beberapa perkara yang mesti dipandang serius.
“Pembangkang sebenarnya tidak berminat untuk mewujudkan kestabilan politik malah sebenarnya sangat cenderung untuk melupakan janji dan komitmen mereka dengan mudah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: MoU batal bila PH tolak usul kerajaan, Annuar Musa ajak siap sedia PRU-15
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menambah, insiden semalam turut membuktikan yang kerajaan mesti mempunyai majoriti yang kuat dan tidak mengharapkan ihsan serta budi bicara pembangkang.
Katanya, kerajaan seperti dalam kedudukan sekarang tidak akan dihormati, tidak stabil dan tidak akan berupaya untuk mengemuka dan menjayakan dasar yang baik dengan lancar.
“Pada saya, kedua-dua perkara ini adalah bukti jelas yang kerajaan sedia ada sudah tidak dihormati.
“MoU antara kerajaan dan pembangkang juga nampaknya sudah tidak lebih dari sekadar janji di atas kertas.
“Saya harap, masyarakat di luar sana dapat melihat betapa rapuh dan berisikonya bentuk kerajaan yang ada,” katanya.
Ahmad Zahid menambah, UMNO dan Barisan Nasional (BN) harus bangkit kembali sebagai kuasa politik yang kuat, besar dan terhormat.
Katanya, UMNO dan BN perlu mempunyai keupayaan untuk membawa dasar dan usul yang baik tanpa perlu mengharapkan sokongan pihak lawan yang gemar menangguk di air keruh.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

