DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, menjadi hasrat kerajaan untuk melahirkan pengguna yang bijak dan berdaya upaya di samping peniaga yang beretika.
Justeru kata Perdana Menteri, pelbagai program kepenggunaan dirangka Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi memperkasakan pengguna terutamanya dalam aspek literasi kewangan, keputusan membeli dan ganti rugi.
“Saya mengharapkan agar semua pihak dapat menghayati dan mempraktikkan hak-hak anda sebagai seorang pengguna dalam menjalankan urus niaga seharian.
“Jangan mudah terpedaya dan tertipu dengan helah dan penipuan peniaga yang tidak beretika,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Pengguna Kebangsaan (HPK) 2022 di Nu Sentrall Mall di ibu negara hari ini.
Hadir sama pada sambutan HPK tahun ini yang bertema Digitalisasi Pengguna adalah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Tambah Perdana Menteri, objektif HPK tahun ini adalah untuk menggalakkan semua pihak melaksanakan tanggungjawab sosial bagi meningkatkan kesedaran berhubung digitalisasi pengguna dalam semua peringkat Keluarga Malaysia.
Katanya, penganjuran HPK kali ini memberi penekanan kepada perkembangan dan penggunaan teknologi yang telah mengambil alih kaedah urus niaga yang konvensional.
“Digitalisasi pengguna menjadi alternatif dalam mengadaptasi perubahan gaya hidup norma baharu dan ini dapat dilihat dengan penggunaan medium dalam talian bagi tujuan urus niaga, mesyuarat, malah sesi pembelajaran,” ujarnya.
Sementara itu, kata Ismail Sabri, berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020, berlaku perubahan dalam trend pembelian pengguna yang memfokuskan kepada urus niaga secara dalam talian.
Menurut Perdana Menteri, sehingga akhir bulan lalu, daripada keseluruhan aduan yang diterima kementerian, 36.45 peratus atau 24,150 aduan adalah berkaitan transaksi secara dalam talian.
“Ini memberi indikasi bahawa sebilangan besar pengguna menyedari dan memahami hak mereka dengan menyalurkan aduan apabila berlakunya sebarang salah laku oleh peniaga,” jelasnya.
Baca: Enam lagi jenis barangan harga terkawal akan dikuatkuasakan
Kerajaan beri subsidi ayam 60 sen, telur 5 sen
Kata beliau, bagi memperkasakan digitalisasi pengguna, kerajaan telah membangunkan satu aplikasi telefon pintar untuk mempelbagaikan platform penyaluran aduan sekaligus memantapkan inisiatif perlindungan pengguna.
Jelas Ismail Sabri, aplikasi yang dinamakan ezAdu ini dibangunkan pada tahun 2015 dan tahun lepas ia ditambah baik bagi membolehkan pengadu menyalurkan aduan serta-merta melalui telefon pintar masing-masing.
“Saya ingin memberi nasihat kepada pengguna yang berurusan secara dalam talian.
“Semak semua maklumat sebelum menjalankan sebarang urus niaga termasuk urusan tawar menawar dan sebagainya bagi mengelak diri daripada ditipu,” katanya.
Perdana Menteri pada masa sama turut memberikan empat tip seperti berikut:
a) Dapatkan maklumat dan khidmat nasihat daripada pegawai KPDNHEP sebelum melakukan sebarang urusan pembelian sekiranya merasa was-was atau tidak pasti;
b) Pastikan setiap transaksi urus niaga mempunyai bukti dan dokumen bertulis seperti resit, invois atau perjanjian untuk memudahkan siasatan dan tindakan selanjutnya;
c) Dapatkan maklumat mengenai fungsi, peranan kementerian dan operasi-operasi yang telah dilaksanakan melalui laman web rasmi, Facebook, Twitter dan risalah-risalah sebagai panduan kepada semua pengguna; dan
d) Kemuka aduan dengan segera menggunakan saluran aduan yang ada jika merasa diri telah ditipu.

