ADUN Semerah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Khalid selepas menunaikan solat sunat Tarawih, di Masjid Parit Besar Semerah, malam tadi./Gambar FB Mohd Fared

KALAU bab berbuka puasa di masjid atau surau, banyak negeri yang belum membenarkannya.

Johor bagaimanapun memutuskan membenarkan jamuan berbuka puasa di surau dan masjid bagi mengimarahkan lagi kehadiran bulan Ramadan.

Bagaimanapun kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid, hanya 50 orang sahaja dibenarkan.

Katanya, sekiranya terdapat lebih daripada 50 orang jemaah, pihak pengurusan masjid dan surau perlulah menyediakan makanan secara berbungkus kepada yang hadir.

“Kita nak maklumkan prosedur operasi standard (SOP) untuk berbuka puasa. Setiap masjid boleh buat berbuka puasa, melainkan lebih 50 orang, mesti berbungkus. Kalau berbuka puasa tidak ramai dalam 20 orang, dibenarkan berhidang.

“Lain-lain SOP untuk aktiviti di masjid dan surau adalah sama seperti sebelum ini, hanya berbuka sahaja kita longgarkan. Solat berjemaah dengan sejadah dirapatkan dan kapasiti jemaah mengikut keluasan masjid,” katanya.

Baca: Kelantan benar saf solat rapat, jamuan buka puasa secara bungkus

Perak, P. Pinang benar saf solat dirapat, N. Sembilan ambil pendekatan berbeza

Mohd Fared berkata demikian kepada BERNAMA selepas menunaikan solat sunat Tarawih, di Masjid Parit Besar Semerah, malam tadi.

Jelas Mohd Fared lagi, aktiviti masak-memasak di surau dan masjid masih tidak lagi dibenarkan termasuklah memasak bubur lambuk yang menjadi tradisi sebelum ini yang kebanyakannya dilakukan di masjid.

“Edaran dan penyampaian bubur lambuk berkenaan dibenarkan diadakan di masjid dan surau, namun hanya memasaknya sahaja tidak dibenarkan serta perlu dilaksanakan di tempat yang lain,” katanya.