KEGEMBIRAAN jelas terpancar pada wajah 40 anak-anak yatim dari Rumah Nur Sakinah, Subang apabila diraikan dalam majlis berbuka puasa anjuran Apple Hotel Shah Alam, hari ini.
Pengurus Apple Hotel Shah Alam, Mimi Syaqirah Rosli berkata, majlis itu diadakan bagi mengeratkan ukhuwah dan silaturahim antara kakitangan Rumah Nur Sakinah, sekali gus meraikan anak-anak yatim menyambut kemuliaan Ramadan.
“Ramadan adalah peluang terbaik untuk kami berkongsi rezeki kepada masyarakat yang selama ini banyak menyokong kami, terutama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir berikutan COVID-19. Oleh itu, pihak Apple Hotel Shah Alam sangat berbesar hati kerana dapat menghulurkan bantuan dan meraikan anak-anak yatim serta kakitangan di Rumah Nur Sakinah.
“Konsep program yang kami telah lancarkan iaitu ‘Kami Kasih Kami Sayang’ amat bertepatan dan kami berharap inisiatif kecil ini dapat melakar senyuman buat mereka untuk meringankan bebanan mereka,” katanya kepada pemberita di majlis berbuka puasa di Rumah Nur Sakinah.

Hadir sama, Pengurus Rumah Nur Sakinah, Siti Roqaiyah Azmi.
Mimi berkata, program tanggungjawab sosial (CSR) yang julung kali diadakan oleh Apple Hotel Shah Alam itu turut mendapat kerjasama Arrow Space Studio yang menyumbang sebuah lakaran mural di satu sudut Rumah Nur Sakinah.

Sementara itu, Siti Roqaiyah turut menzahirkan rasa kesyukuran atas sumbangan diberikan serta mengalu-alukan kepada syarikat atau organisasi lain yang mahu menghulurkan sumbangan kepada anak-anak yatim itu.
“Syukur Alhamdulillah. Kami berasa sangat gembira di atas sumbangan yang diberikan.
“Jelas sekali anak-anak di Rumah Nur Sakinah nampak sangat ceria selepas program yang diadakan hari ini,” katanya.

