PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Johor supaya menolak politik kebencian, perkauman dan perpecahan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, sebaliknya memilih kepimpinan yang mampu membawa pembangunan serta masa depan lebih baik kepada negeri itu.
Beliau berkata, pilihan raya bukan sekadar medan persaingan politik, tetapi peluang untuk rakyat menentukan hala tuju Johor sama ada terus bergerak ke hadapan dengan agenda pembangunan atau terperangkap dalam politik yang memecah-belahkan masyarakat.
“Pilihan raya negeri ini adalah medan untuk rakyat menolak politik kebencian, prasangka serta perpecahan kaum dan agama.
“Rakyat mahukan pemimpin yang bercakap soal pekerjaan, rumah mampu milik, pendidikan berkualiti dan kehidupan yang lebih terjamin, bukannya politik yang tandus idea lalu menjadikan sentimen kaum dan agama sebagai modal kempen setiap hari,” katanya.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, sambutan luar biasa pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PH Johor di Batu Pahat malam tadi membuktikan rakyat negeri itu masih menaruh harapan terhadap politik yang lebih matang dan berteraskan masa depan.
Katanya, kehadiran ribuan penyokong walaupun program itu diatur dalam tempoh singkat memberi keyakinan bahawa rakyat mahu melihat perubahan positif diteruskan.
Menurut beliau, Johor mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai negeri maju hasil kemasukan pelaburan dan pelaksanaan pelbagai projek strategik yang digerakkan kerajaan.
Bagaimanapun, katanya, masih terdapat ruang luas untuk memperkukuh ekonomi negeri dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Setiap projek yang dilaksanakan mesti membawa manfaat langsung kepada rakyat.
“Setiap dasar perlu mengangkat martabat rakyat dan setiap wang negara mesti diurus dengan amanah serta tanggungjawab,” katanya.
Anwar mengakui tidak semua masalah negara dapat diselesaikan dalam tempoh tiga tahun setengah pentadbiran Kerajaan MADANI.
Namun, beliau menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal integriti, rasuah dan salah guna kuasa.
“Negara ini terlalu kaya untuk rakyatnya terus terbeban akibat ketirisan, rasuah dan salah guna kuasa oleh pemimpin yang tamak haloba serta hanya mahu memperkayakan diri dan keluarga,” katanya.
Beliau berkata, semangat perpaduan yang dipamerkan masyarakat pelbagai kaum pada majlis pelancaran itu turut membuktikan rakyat semakin menolak politik berasaskan kebencian.
“Saya melihat orang Melayu, Cina dan India berhimpun dengan satu harapan yang sama.
“Mereka tidak disatukan oleh kebencian atau prasangka, sebaliknya oleh cita-cita untuk membina negeri dan negara yang lebih adil, maju dan bermaruah,” katanya.
Malam tadi, Anwar melancarkan Jentera Pilihan Raya PH Johor 2026 yang turut dihadiri pemimpin utama gabungan itu termasuk Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.
Majlis itu menjadi pentas rasmi pertama PH menggerakkan jentera pilihan rayanya selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRN.
Sebelum ini, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, mengumumkan pembubaran DUN Johor selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Pembubaran itu membuka laluan kepada pilihan raya negeri yang dijangka menjadi medan penting untuk menentukan landskap politik Johor bagi penggal akan datang.
Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.