Anggota polis dipercayai membawa rangka yang ditemui di Taman Bukit Zamrud, Seremban. Gambar: Bernama

POLIS menemukan rangka dipercayai milik seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di kawasan belukar berhampiran tangki air di Taman Bukit Zamrud, Seremban pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, penemuan rangka manusia pada kira-kira 11 pagi itu membabitkan tengkorak, gigi geraham dan cebisan tulang yang dipercayai mempunyai kaitan dengan tiga suspek yang ditahan sebelum ini berhubung kes penemuan mayat wanita tanpa identiti dalam gaung di Kilometer 14 Jalan Bukit Putus, 20 Mac lepas.

Beliau berkata rangka kanak-kanak itu ditemukan bertaburan di atas tanah dan dilitupi daun kering kira-kira 10 meter dari lokasi asal pencarian sejak 28 Mac, setelah polis membawa dua daripada suspek berkenaan ke lokasi kejadian.

“Penemuan rangka ini melibatkan kes kanak-kanak hilang sebelum ini, kami percaya tulang ini berkemungkinan adalah milik mangsa, bagaimanapun kita masih lagi menyiasat dengan proses forensik dan patalogi akan dilakukan untuk mengesahkanmya.

“Kemungkinan dalam tempoh dua ke tiga bulan (meninggal dunia) sebelum rangka ditemui. Namun mayat wanita yang ditemukan di gaung itu tiada kaitan dengan kanak-kanak ini, tetapi dipercayai masing-masing pernah tinggal bersama suspek,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.

Baca artikel berkaitan: Kerana cinta, lelaki ini gali kubur dan ambil mayat wanita idamannya lalu hidup bersama rangka itu selama 7 tahun

Dalam pada itu, Nanda yakin bahawa melalui penemuan rangka kanak-kanak tersebut, polis sekali gus akan dapat menyelesaikan kes penemuan mayat wanita di dalam gaung berkenaan dan kertas siasatan akan dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya secepat mungkin.

“Motif pembunuhan masih dalam siasatan dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

 Sebelum ini, media melaporkan mayat seorang wanita tanpa identiti ditemukan dalam keadaan tertiarap di Kilometer 14, Jalan Bukit Putus oleh seorang lelaki ketika berjoging dan mengambil gambar di kawasan tersebut.

Salah seorang suspek yang dibawa ke lokasi penemuan rangka kanak-kanak.

Susulan kejadian itu, tiga individu iaitu dua lelaki, masing-masing berusia 41 dan 44 tahun, serta seorang wanita berusia 18 tahun yang mempunyai talian persaudaraan direman sehingga 11 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram