PENYANYI popular Wany Hasrita mengesahkan bakal menamatkan zaman bujang pada tahun ini.

Sudah menghadiri kursus pra perkahwinan pada tahun lalu sebagai persiapan awal, penyanyi yang terkenal dengan lagu Menahan Rindu itu turut menyatakan bahawa dirinya masih dalam proses menyiapkan diri sebelum melangkah ke alam berumah tangga tidak lama lagi.

“Setiap orang termasuk saya mesti ada persiapan dan perancangan untuk kahwin.

“Persiapan dalam segi memasak, bersedia dalam diri, siap siagakan diri itu masih dalam 50 peratus.

“Apabila dah keluar kad kahwin dan segala urusan sudah lengkap, memang kita akan maklumkan.” ujarnya kepada URTV.

Wany atau nama lengkapnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 30, turut menafikan susulan khabar angin yang mendakwa dia sudah bernikah pada 2 April lalu.

“Saya bernikah pada Sabtu lepas? Mana dengar cerita ni?

“Saya sendiri pun agak terkejut jugalah bila dengar berita ni.

“Tapi pada hari Sabtu lepas saya ada program pengacaraan Borak Dulu Baru Berbuka, jadi ada alibi,” katanya.

Wany ditemui pada majlis Media Night & Majlis Berbuka Puasa Armani Entertainment Group yang diadakan di Hotel Hilton Kuala Lumpur, semalam.

Dalam pada itu, Wany yang pernah popular menerusi lagu Menahan Rindu itu tidak mengharapkan majlis perkahwinannya diadakan secara besar-besaran.

“Saya kalau boleh tak mahukan majlis perkahwinan yang mega walaupun kita sudah memasuki fasa endemik.

“Saya lebih suka jika majlis seperti akad nikah dijalankan secara intim sahaja,” jelasnya.

Sementara itu, pelantun lagu Terlalu Memuja itu juga menafikan jejaka pilihan hatinya itu adalah daripada rakan industri seni.

“Impian dan pilihan saya (kahwin) adalah bukan daripada industri (seni hiburan).

“Insya-Alllah, kalau ada jodoh dan berlangsunglah pernikahan, maka tercapailah impian saya.” ujar penyanyi kelahiran Kuala Lumpur itu.

Tidak mendedahkan identiti lelaki yang berjaya mencuri hatinya, Wany juga memilih untuk tidak bercerita mengenai majlis merisik atau pertunangan.

“Tentang merisik atau bertunang, biarlah ia disimpan sesama keluarga demi menghormati ramai pihak.

“Dah bertunang ataupun dah merisik itu biar saya yang tahu”, tegasnya.

Dalam perkembangan lain, Wany kini sedang aktif mengacarakan program baharu Borak Dulu Baru Berbuka sepanjang Ramadan dan dalam proses merakamkan single baharu tidak lama lagi.

“Saya belum ada lagi lagu balada yang bahagia.

“Mungkin boleh keluar serentak dengan majlis (kahwin) saya nanti,” katanya.