Iftar terbuka di UK tarik perhatian ramai

Dari Penulis

TUJUAN asal bagi menyantuni pelajar asing beragama Islam sekitar London menerusi majlis iftar.

Inisiatif pertubuhan amal, Ramadan Tent itu supaya penuntut-penuntut berkenaan tidak berasa sunyi ketika berbuka puasa meski berjauhan dari keluarga.

Bermula 2013 di University of London, program Open Iftar kendalian Ramadan Tent itu berkembang sehingga menjadi satu fenomena di United Kingdom (UK).

Bermula di London, kini program yang menarik perhatian ramai itu melebarkan sayap di bandar-bandar utama lain.

Menariknya, ia menjadi satu program komuniti kerana semua anggota masyarakat tanpa mengira agama dan kaum dialu-alukan hadir di lokasi ditetapkan.

Mereka sama-sama merasai pengalaman berbuka puasa sekali gus mendedahkan bukan Islam dengan ibadah yang menjadi salah satu rukun Islam itu.

Sejak beberapa tahun lalu, program Open Iftar itu sudah berlangsung di lokasi-lokasi ikonik di London – antaranya Trafalgar Square dan pekarangan British Library.

Ramadan Tent turut mencatat sejarah pada 2019 apabila program Open Iftar berlangsung di pekarangan Stadium Wembley.

Kisah kejayaan pertubuhan itu turut mengundang perhatian umat Islam global apabila dilaporkan media terkenal Turki tiga tahun lalu.

Antara yang berkongsi kembali liputan tersebut yang disiarkan pada 3 Jun 2019 itu ialah pendakwah terkenal Indonesia, Ustaz Abdul Somad.

Ia sekali gus jadi tular semula dalam kalangan komuniti Islam.

Majlis di Wembley pada 2019 itu menimbulkan keterujaan ramai apabila azan Maghrib turut berkumandang di stadium bersejarah Eropah tersebut.

Majlis buka puasa secara fizikal kembali dianjurkan Open Iftar tahun ini. Antara lokasi tahun ini ialah di Birmingham.

Berikutan penularan COVID-19, program tersebut juga berubah platform kepada iftar secara virtual, namun dari semangat bagi mewujudkan keharmonian antara warga London tidak berubah.

Antara tokoh yang sentiasa memberi sokongan kepada program tersebut ialah Datuk Bandar London, Sadiq Khan.

Baca: Hanya RM3 seorang Iftar Rumah Prihatin di Ballroom Grand Season

Bagi Sadiq, kekuatan kota London kerana kepelbagaian warganya dan program Open Iftar memupuk keharmonian antara agama untuk saling kenal.

Beliau dalam pada itu turut menghargai program tersebut kerana dapat memberi kefahaman kepada penganut agama lain mengenai ajaran Islam.

Selepas dua tahun sekatan akibat wabak, Sadiq menghadiri program serupa tahun ini tetapi anjuran pertubuhan lain di awal Ramadan lalu.

Menariknya, majlis iftar pelbagai agama itu berlangsung di satu lagi lokasi ikonik iaitu Tower of London.

Selain itu, beberapa hari lalu juga berlangsung program berbuka puasa beramai-ramai secara terbuka di New York Times Square.

Program itu julung-julung kali diadakan dan turut mendapat liputan meluas media di seluruh dunia.

Ramai memberi respons positif dengan program seperti itu yang memperlihatkan sisi amal kebajikan selain keharmonian dalam kalangan peserta.

Ini sekali gus diharap membantu dalam memperbetulkan salah tanggapan terhadap umat Islam.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Konflik Asia Barat: Rakyat perlu sedia hadapi gelombang kenaikan kos hidup

KONFLIK Asia Barat yang membawa kepada krisis tenaga global memberi kesan ketara kepada fiskal negara, sekali gus mencetuskan kebimbangan...

More Articles Like This