Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (paling kanan) dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (tengah) diiringi Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din (berbaju putih kiri sekali) melihat secara dekat antara kawasan terjejas akibat tanah runtuh ketika meninjau kerja-kerja membaik pulih Stesen Janakuasa Sultan Mahmud (SJSM), Khamis lalu (7 April). - Gambar TNB

MENTERI Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang meninjau kerja-kerja membaik pulih Stesen Janakuasa Sultan Mahmud (SJSM) Khamis lalu berpuas hati dengan usaha TNB memulihkan operasi stesen itu.

Stesen berkenaan dihentikan sementara operasinya sejak 27 Februari selepas dilanda tanah runtuh akibat hujan lebat berterusan selama 72 jam. Usaha memulihkan operasinya berjalan lancar dengan kini memasuki fasa pemulihan kejuruteraan dan beroperasi semula menjelang hujung tahun ini, mengikut perancangan.

“Selepas 40 hari daripada kejadian, saya melihat pemulihan telah dilaksanakan secara terbaik dan dengan pantas. Ianya dilaksanakan melalui banyak peringkat-peringkat yang perlu disegerakan,” katanya yang turut meninjau kawasan SJSM dan Kenyir dari udara.

Beliau kemudian melawat beberapa lokasi penting termasuk jambatan Bailey berhampiran stesen, menara penghantaran, kawasan empangan serta pencawang masuk utama sebelum diberikan taklimat mengenai pengurusan krisis oleh Pengurus Besar, State Stakeholder Affairs (Kelantan/Terengganu) TNB, Mustaphakamal Yaacob.

Hadir sama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din dan Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco), Datuk Nor Azman Mufti.

Takiyuddin turut memuji kemampuan TNB memastikan pembekalan tenaga elektrik di Terengganu tidak terjejas sepanjang usaha pemulihan. Beliau juga sempat berbincang dengan Baharin serta Ahmad Samsuri untuk terus bekerjasama melibatkan pelbagai jabatan berkaitan dalam menyempurnakan kerja-kerja pemulihan tersebut.

BERITA BERKAITAN TNB muktamad pembelian aset tenaga angin di UK

SJSM dihenti tugas sementara berikutan menara penghantaran voltan tinggi 132kV yang menyalurkan bekalan elektrik kepada Grid Nasional tumbang pada 27 Februari akibat kejadian tanah runtuh dalam keadaan hujan lebat luar biasa bermula 25 Februari.

Kejadian tanah runtuh itu turut memutuskan perhubungan jalan keluar-masuk ke SJSM, meruntuhkan sebuah jambatan dan diikuti aliran mendapan yang membanjiri kawasan stesen. Sebaik kejadian, TNB telah mengaktifkan Pelan Kesinambungan Bisnesnya (pelan tindakan kecemasan) termasuk penyelarasan dengan pihak berkepentingan, agensi kerajaan dan jabatan lain di TNB.

Semua kerja-kerja fasa pertama termasuk pembersihan akses ke stesen, pembersihan bahan mendapan termasuk sisa kayu dan keladak telah dilaksanakan selain memulakan pemeriksaan struktur empangan dan perkakasan, keselamatan cerun dan kawasan penampan serta alur limpah.

Paras air sungai di hilir Empangan Kenyir juga sudah kembali normal, dengan Ahmad Samsuri yang berpuas hati dengan kerja-kerja pemulihan, mengucapkan terima kasih kepada TNB serta seluruh pihak yang telah melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan cemerlang untuk memulihkan keadaan kepada sedia kala.

“Sekarang ini, kerja-kerja masih berjalan. Dengan tumpuan yang diberikan oleh TNB dan kementerian (KeTSA), memberikan keyakinan tambahan kepada kita bahawa proses pemulihan ini akan berjalan dengan lebih baik dalam apa jua yang terkesan sebelum ini, termasuklah aspek pembekalan air dan sebagainya,” kata Ahmad Samsuri.

Menurut Baharin, fasa kedua pemulihan termasuk penyenggaraan peralatan dan aset-aset penjanaan dijangka selesai Jun ini dan diikuti fasa ketiga ke arah pemulihan operasi, yang mana keseluruhan proses pemulihan mengambil masa hampir enam bulan dalam usaha memastikan keselamatan stesen berada dalam keadaan terkawal sepenuhnya.

“Pelaksanaaan langkah pemulihan bagi mengembalikan operasi SJSM turut merangkumi penilaian impak kejadian kepada struktur empangan. Penilaian mendapati integriti struktur empangan kekal kukuh dan selamat. Keadaan di sekitar Tasik Kenyir juga dijamin selamat,” katanya.

TNB katanya, mendapatkan khidmat pakar perunding luar untuk membuat penilaian terperinci integriti empangan selain bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memantau keadaan cerun termasuk lima lokasi tanah runtuh di laluan menuju SJSM.

SJSM yang mempunyai empat unit turbin hidro untuk menjana 100MW setiap satu adalah satu daripada dua loji penjanaan di Kenyir. Sebuah lagi logi dikenali sebagai Stesen Janakuasa Hulu Terengganu (SJHT). Tasik Kenyir mempunyai keluasan 36,900 hektar dengan keluasan kawasan tadahan 260,000 hektar.