PENGARAH dan pelakon, Datuk Afdlin Shauki Aksan menawarkan dirinya untuk bertanding sebagai calon Ketua Cabang Setiawangsa bagi Pemilihan PKR 2022, Mei ini.

Pada masa sama, Afdlin turut menawarkan diri bersama pasukannya dengan Mohamad Faidzal Ibrahim selaku calon Timbalan Ketua Cabang, Muhammad Ibrahim Hilmy Noor Mohamed Ashley sebagai calon Naib Ketua Cabang dan 15 calon Ahli Jawatankuasa (AJK) Cabang.

Menurut Afdlin dalam kenyataan, keputusan untuk merebut jawatan Ketua Cabang PKR itu dilakukan bagi memastikan kemenangan parti itu di Parlimen Setiawangsa dikekalkan pada pilihan raya akan datang.

Kata beliau, Cabang Setiawangsa perlu menjalani proses rejuvenasi agar perjuangan reformasi terus mekar dan diterima warga kawasan tersebut.

Afdlin menegaskan, PKR Cabang Setiawangsa perlu diperkemas struktur dan gerak kerja dalam membela suara rakyat.

“Kekemasan struktur dan gerak kerja juga perlu bagi memantapkan tadbir urus dengan menyatukan kekuatan ahli lama serta baharu agar terus mengakar umbi demi memastikan kebajikan warga Setiawangsa terus dijaga.

“Saya menganggap keterlibatan pasukan kami adalah sebuah usaha melakukan kebaikan dan membawa pembaharuan tanpa sebarang prejudis kepada mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: “Selamat datang ke keluarga PKR” kata Anwar pada Afdlin, Altimet

Mengulas lanjut, Afdlin memaklumkan, fokus utama pasukannya sekiranya dipilih nanti adalah membawa budaya politik khidmat bakti supaya gerak kerja Cabang sentiasa mengutamakan keperluan rakyat Setiawangsa.

“Seterusnya memperkukuh kembali jentera pilihan raya PKR Setiawangsa bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan tidak kurang penting sudah tentu memastikan kebajikan ahli PKR Setiawangsa sentiasa dijaga.

“Setiawangsa bukan sekadar tempat persinggahan politik bagi kami. Di sini rumah saya, rumah kita, bersama kita menggembleng tenaga demi Setiawangsa yang lebih makmur,” jelas beliau.

Sebagai rekod, Afdlin sah menyertai PKR bersama-sama penyanyi rap, Altimet pada 1 April tahun lalu.

Pengumuman penyertaan Afdlin dan Altimet itu dimaklumkan sendiri Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu majlis di sebuah hotel di Ampang.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegra