TAKTIK licik seorang individu yang cuba menyeludup 653 kilogram (kg) minyak masak peket ke Thailand gagal apabila berjaya dihidu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan, semalam.
Dalam operasi pada jam 10.30 pagi itu, KPDNHEP bersama anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat berjaya mengesan aktiviti penyeludupan tersebut selepas mendapat maklumat risikan.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kelantan, Azanizam Affendi Juri berkata, anngota operasi berjaya menahan kenderaan suspek di bahu jalan Kampung Bendang Pak Yong, Kelantan.
“Kereta Proton Iswara itu dipandu dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan di bahu jalan di Kampung Bendang Pak Yong.
“Begitupun, pemandunya berjaya melarikan diri ke dalam semak berhampiran.
“Hasil pemeriksaan di dalam kereta itu, kami menjumpai minyak masak bersubsidi anggaran 653kg disyaki untuk tujuan penyeludupan ke negara jiran,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Baca artikel berkaitan: Dua stesyen petrol dipantau KPDNHEP, didakwa benarkan kenderaan asing isi RON95
Mengulas lanjut, Azanizam Affendi berkata, nilai rampasan barangan kawalan minyak masak peket satu kg bersubsidi yang disita itu dianggarkan RM1,632.50 manakala kenderaan pula RM4,000.
Jelas beliau, minyak masak peket itu dipercayai dibawa masuk dari Terengganu berdasarkan daripada jenama dan pembungkusan.
“Minyak masak negara kita memang menerima permintaan sangat tinggi di Thailand dan dijual dua kali ganda daripada harga di sini iaitu mencecah RM5 sekilogram.
“KPDNHEP tidak akan berkompromi dengan sesiapa sahaja yang menjalankan aktiviti yang tidak bermoral ini dan tindakan tegas akan diambil terhadap individu atau peniaga yang ingkar,” katanya.

