ANGGARAN kos pembinaan jeti kayu yang tular di media sosial baru-baru ini adalah dengan kadar RM9,000 semeter kiub bagi kayu jenis belian, jelas Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, malam tadi.

Menurut JKR Sarawak, anggaran kos itu berdasarkan Jadual Kadar (SOR) JKR Sarawak Tahun 2020 yang mana kadar RM9,000 semeter kiub bagi kayu belian itu adalah lebih rendah daripada harga pasaran semasa.

“Tular kenyataan projek yang telah siap itu tidak wajar dengan kos bajet RM50,000.

“Kami juga mengambil kira keadaan laluan jalan (jalan ladang) ke Kampung Mutap, logistik dan keselamatan (kawasan yang dipenuhi buaya).

Dalam bajet RM50,000, kami berjaya mereka bentuk jeti sehingga 15 meter panjang dengan dua anak tangga,” katanya memetik laporan Astro Awani.

Baca artikel berkaitan: ‘Bikin panas!’ Jeti kayu 1m lebar x 15m panjang telan belanja RM50,000 di Sarawak

Mengulas lanjut, JKR Sarawak berkata, reka bentuk asal jeti tersebut yang diminta ketua kampung adalah sepanjang 30 meter dan mempunyai sebuah pondok kayu.

Begitupun, jelas JKR Sarawak, perkara itu tidak dapat direalisasikan memandangkan faktor bajet yang terhad.

“Pegawai kami memaklumkan permintaan ketua kampung tidak dapat dilakukan atas faktor bajet yang terhad.

“Begitupun, ketua kampung bersetuju dengan cadangan mengikut bajet yang diperuntukkan,” katanya.

JKR Sarawak menambah, ketua kampung difahamkan akan meminta satu lagi dana daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Datuk Rosey Yunus.

Ujar JKR Sarawak, dana itu adalah untuk melaksanakan fasa kedua jeti tersebut.

Trivia:

Kayu belian atau tebelian hanya boleh ditemui di Borneo (Sabah dan Sarawak) dan Indonesia (Kalimatan dan Sumatera).

Kayu jenis ini terkenal dengan daya ketahanannya dan diberi jolokan kayu besi memandangkan sifatnya yang keras serta tidak mudah reput.

Kayu belian mempunyai permintaan tinggi di Borneo dan sering digunakan dalam pembinaan rumah panjang di sana suatu ketika dahulu.