Gambar Hiasan. / Gambar media sosial

Sekurangnya-kurangnya lima pemain perseorangan lelaki perlu dibawa untuk menyertai kejohanan Piala Thomas 2022 di Bangkok, Thailand, yang dijadual berlangsung pada 8-15 Mei ini.

Jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan berkata keputusan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang memberikan pengecualian kepada semua pasukan untuk mempunyai 12 pemain bagi Piala Thomas dan Uber berbanding 10 sebelum ini susulan COVID-19, memberikan lebih banyak pilihan kepada barisan kejurulatihan untuk menyenaraikan pemain yang benar-benar layak beraksi dalam kejohanan berprestij itu.

“Sampai hari ini masih pilih siapa akan main, kita perlu tunggu keputusan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan BAM Wong Choong Hann dan Pengarah Kejurulatihan Beregu Rexy Mainaky.

“Katanya 12 orang boleh disenaraikan…ini bermakna sekurang-kurangnya perseorangan lelaki ada lima, kalau kelmarin ada empat…dengan lima pemain akan ada lebih banyak pilihan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi latihan di sini.

Ditanya sama ada beliau akan mengekalkan barisan pemain yang membantu negara menjulang kejuaraan sulung Kejuaraan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Shah Alam, Februari lepas, Hendrawan berharap hanya pemain terbaik disenaraikan walaupun ada dalam kalangan mereka sudah tersenarai ke Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam, dari 12-23 Mei ini.

Baca artikel berkaitan: Piala Thomas: Keputusan akhir Zii Jia jalani latihan di tangan BAM

Hendrawan berkata hanya Choong Hann sahaja yang boleh mengulas mengenai langkah menukar pemain perseorangan yang tersenarai ke Sukan SEA pada saat akhir untuk beraksi di Piala Thomas.

“Dari pengalaman lalu boleh tukar dengan pemain ranking lebih rendah (untuk Sukan SEA) namun sehingga kini masih belum ada lagi keputusan muktamad,” katanya.

Terdapat seorang pemain iaitu Lim Chong King yang tersenarai dalam skuad BATC akan mewakili negara pada temasya Sukan SEA Hanoi.

Sementara itu, Rexy pula mahu membawa enam pemain untuk skuad beregu negara pada Piala Thomas 2022.

“Untuk beregu lelaki kita mahu bawa enam pemain, terserah kepada kem perseorangan untuk bawa enam, biar mereka membuat keputusan,” katanya.

Malaysia diundi bersama juara 2014 yang juga pilihan kedua, Jepun, bersama England dan New Zealand dalam saingan Kumpulan D Piala Thomas 2022.

— BERNAMA