TIGA rakyat Malaysia ditahan di Khon Kaen, Thailand bersama kira-kira 97 kilogram syabu jenis kristal dalam satu operasi di dalam kereta api menuju ke ibu negara Bangkok.
Biro Siasatan Pusat (CIB) memaklumkan, suspek yang kesemuanya lelaki ditahan selepas pegawai menemukan tiga beg pakaian tidak dituntut dalam tren dari Nong Khai ke Terminal Pusat Krung Thep Aphiwat di Bangkok.
“Pegawai rondaan pada 8 April mengesan tiga beg besar berwarna hitam berkunci secara kombinasi diletakkan di rak bagasi dalam sebuah gerabak ketika melalui wilayah Khon Kaen.

“Pemeriksaan awal mendapati tiada penumpang mengaku memiliki beg itu, ia mendorong siasatan lanjut dijalankan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
CIB memaklumkan kakitangan kereta api kemudian mengesahkan tiga lelaki berkenaan membawa beg tersebut menaiki tren di Nong Khai.
Siasatan mendapati suspek mengakui membawa bagasi berkenaan namun mendakwa tidak mengetahui isi kandungannya dan diarahkan oleh pihak lain untuk menghantar beg ke Bangkok.
“Suspek dan barang rampasan diserahkan kepada pegawai penyiasat di Balai Polis Phon di Khon Kaen untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

