“Saya ada lima orang pengawal peribadi (bodyguard).” Demikian kata selebriti versatil, Ifa Raziah apabila ditanya tentang keberaniannya memakai barangan kemas bernilai ratusan ribu ringgit.

Ifa atau Saripah Raziah Mustapha,47, memberitahu dia sedar tentang keselamatan diri yang berdepan risiko jenayah atau individu yang berniat jahat.

“Saya tak pakai barang kemas setiap hari dan masa. Saya hanya pakai apabila menghadiri majlis tertenu sahaja.

“Ada pengawal peribadi (bodyguard) yang akan berada di sekeliling saya dan pantau keadaan saya 24 jam,” ujarnya kepada URTV.

Menurut Ifa, dia bukan sengaja mahu berlagak dengan kemewahan yang dimiliki tetapi ia sebagai lambang kejayaan perniagaan yang diusahakan selama beberapa tahun ini.

Jelas Ifa, mentaliti masyarakat di negara ini mudah meletakkan stigma jika seseorang usahawan itu perlu menunjukkan harta kebendaan bagi membuktikan dirinya berjaya dan boleh dipercayai

“Selain bergelar selebriti, saya juga seorang ahli perniagaan dan pengasas produk. Teknik pemasaran perlu ada untuk melariskan produk yang dijual lebih-lebih lagi sekarang orang nak tengok harta benda barulah mereka percaya kita berjaya.

“Kalau tak tunjuk kerta empat atau lima buah kereta, orang kata kita tak berjaya, tak tunjuk barang kemas berkilo-kilo, orang ingat kita tak berjaya.

“Itulah pandangan dan mentaliti masyarakat kita yang tak boleh nak ubah…saya pun tak faham.

“Saya tak tunjuk duit berkepuk-kepuk, duit bersusun, orang kata tak berjaya.Jadi macam mana nak buat? Saya tunjuk bisnes saya iaitu StarVendor dan barang kemas saya,” tuturnya.

Ifa ditemui ketika sidang media StarVendors Mega Fest Raya 2022 yang akan berlangsung pada 22 hingga 25 April ini di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur (WTCKL).

Jika sebelum ini penganjuran acara terbabit berlangsung selama 72 jam tanpa henti, kali ini Ifa merancang untuk memanjangkan tempoh sehingga 75 jam sekali gus mencatatkan rekod Malaysia Book of Records (MBOR).

“Tujuan utama StarVendors ini adalah untuk memberi platform kepada usahawan berniaga. Tidak kira bangsa apa sekalipun yang mahu berniaga bersama kita bulan Ramadan ini.

“Kita akan memecah rekod buat pertama kalinya di Malaysia iaitu selama 75 jam dan akan dimasukkan dalam MBOR. Sebelum ini kita buat 72 jam tapi sudah ramia penganjur yang buat.

“Ia akan bermula 9 pagi pada 22 April dan akan tamat tepat jam 12 tengahari pada 25 April.

“Seramai 55 artis akan bergabung bersama kita dan usahawan vendor lain yang sudah dua tidak dapat berniaga,” jelasnya.