KEPUTUSAN Majlis Tertinggi (MT) UMNO untuk tidak meneruskan memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dengan Pakatan Harapan (PH) tidak boleh diguna pakai kerajaan.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, sebaliknya keputusan itu hanya urusan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan partinya sendiri.
Jelas Siew Fook, hal itu kerana MoU tersebut adalah persefahaman antara PH dengan Kerajaan Persekutuan dan bukan dengan pucuk pimpinan UMNO.
“Sebarang keputusan dan isu berkenaan MoU tersebut perlu dibincang secara rasmi di antara Perdana Menteri mewakili Kerajaan Persekutuan yang ditadbir oleh pelbagai parti dengan pimpinan tertinggi PH.
“Pihak kami tidak terikat dengan apa-apa keputusan MT UMNO,” katanya dalam kenyataan semalam.
Baca artikel berkaitan: Bersatu akan dapatkan penjelasan PM berhubung MoU – Muhyiddin
Mengulas lanjut, Siew Fook berkata, terdapat juga percanggahan pendapat dalam kalangan parti dalam Blok Kerajaan berkenaan garis masa MoU tersebut
Jelasnya isu yang paling penting bagi PH adalah pelaksanaan semua komitmen kerajaan yang termaktub dalam MoU terutamanya penggubalan Akta Anti Lompat Parti sebelum Parlimen dibubarkan.
“Dalam Pemukiman DAP Pusat baru-baru ini, pucuk pimpinan parti telah mengarahkan supaya seluruh jentera pilihanraya DAP mesti bersiapsiaga sepenuhnya menjelang bulan Ogos 2022.
“Saya yakin DAP dan PH bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk pembubaran Parlimen pada awal bulan Ogos akan datang,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

