AIR mata penyanyi tersohor tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengalir mengenangkan kehidupan menjadi orang biasa di hadapan Kaabah.
Menerusi perkongsian video di laman sosial Instagram, Siti atau Tokti bersyukur kerana berpeluang mengerjakan umrah sekali lagi pada bulan Ramadan,
Tokti,43, turut menyatakan bahawa dirinya teruja dapat berkongsi pemandangan Kaabah dan suasana Mekah kepada pengikutnya di laman media sosial tersebut.
“Ni yang saya rindu sebenarnya, menjadi orang biasa, dapat duduk macam ni, buatkan saya menjadi manusia yang sekecil-kecilnya.
“Orang tak kenal pun saya, mereka sedang berdoa dengan bersungguh-sungguh.
“Sangat seronok, inilah yang saya rindu sangat-sangat,” katanya dengan nada sebak.
Di samping memanjatkan kesyukuran kerana berpeluang menunaikan ibadah umrah, Tokti turut menzahirkan rasa terima kasih atas keizinan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa yang turut menjaga kedua cahaya matanya sepanjang ketiadaannya.
Tokti turut ditemani pengurus, Rozi Abdul Razak dan kakak iparnya, Datin Zaiton Mohd. Jiwa.
Untuk rekod, kali terakhir Tokti menunaikan umrah bersama suami, anak dan pengasuhnya ialah pada 2019.

