Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

MAJLIS Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) akan mencari penyelesaian terhadap masalah yang timbul selain memudahkan pembelian dan pemilikan rumah pada masa akan datang.

Jaminan itu disuarakan sendiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sejajar dengan usaha merealisasikan wawasan ‘Satu Keluarga Satu Rumah’.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan beriltizam memastikan satu rangka penyelesaian dapat disediakan walaupun berlakunya peningkatan kos binaan.

Kata beliau, peningkatan mendadak kos binaan itu disebabkan konflik antara Rusia dan Ukraine yang akan memberi kesan kepada harga rumah.

“Aspirasi kerajaan adalah untuk membina 500,000 rumah mampu milik untuk Keluarga Malaysia di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Aspirasi ini sangat dekat di hati saya dan pihak kerajaan memahami kerisauan anak muda untuk mempunyai tempat berteduh terutamanya selepas mereka bersara.

“Di bawah RMK-12 dan MPMMN, langkah-langkah segera dan jangka panjang telah digariskan untuk menyelesaikan perkara ini,” katanya.

Baca artikel berkaitan: “Terus berhati-hati walaupun SOP longgar, virus COVID-19 masih wujud” – PM

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Pecah Tanah Residensi PR1MA – Astrum Ampang, hari ini.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri memaklumkan, langkah segera dan jangka panjang di bawah RMK-12 dan MPMMN itu selari dengan usaha memperkasa pemilikan rumah mampu milik bagi golongan B40 dan M40 bagi mengelakkan mereka menanggung beban kewangan.

Beliau berkata, langkah itu diperkukuhkan lagi dengan usaha sedia ada agensi kerajaan lain seperti PR1MA yang dapat menyumbang secara positif ke arah pemilikan rumah yang lestari.

Ismail Sabri memberi jaminan kerajaan akan terus menyokong usaha PR1MA dalam membantu golongan berpendapatan sederhana memiliki rumah sendiri yang membolehkan penghuninya menikmati kehidupan mampan.

“Falsafah penubuhan PR1MA bukan sekadar membangunkan rumah mampu milik tetapi lebih daripada itu. PR1MA turut bermatlamat membina satu komuniti yang bersepadu dan harmoni.

“Saya berharap PR1MA akan terus cekap dalam menggalas sasaran ini dan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan wawasan ini dijayakan dan bukan hanya sekadar janji,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram