PASUKAN Perak FC ditimpa pelbagai masalah akhir-akhir ini hingga menyebabkan gaji pemain dan pegawai tidak dibayar. - Gambar Bernama

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan XOX Berhad (XOX) telah diumum sebagai pemilik baharu Perak FC berkuat kuasa hari ini.

Perkara itu disahkan Unit Pelesenan Kelab MFL, selepas XOX berjaya menyediakan semua dokumen  yang diminta oleh MFL hari ini, yang merupakan tarikh akhir.

MFL dalam kenyataan menyatakan pihaknya telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Perak FC, mengenai pengambilalihan Kelab Bola Sepak dengan proses perundangan yang penuh dan wajar untuk dimuktamadkan.

“MFL percaya kedatangan XOX bukan sahaja menandakan permulaan semula Perak FC, yang disokong oleh korporat yang kukuh dan teratur, tetapi sebab yang tepat ini juga menandakan pergerakan positif ke arah kemasukan satu lagi syarikat besar ke dalam pemilikan sesebuah kelab bola sepak di Malaysia.

“MFL yakin bahawa Perak FC kini akan dapat bergerak ke hadapan dengan penuh keyakinan dan sebaik sahaja semua proses pengambilalihan yang begitu besar telah berjaya diselesaikan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga memaklumkan, pengurusan tertinggi XOX telah bertemu dan berbincang dengan ketua jurulatih dan pembantu jurulatih Perak FC serta dua pemain mengenai komitmen mereka, dan turut membincangkan hala tuju pasukan dalam jangka masa pendek dan panjang, isu gaji tertunggak serta rancangan selepas sekatan perpindahan ditarik balik.

Sebelum ini, Perak FC yang sedang terpalit dengan isu pertukaran pemilik, menjadi kelab pertama dihukum pemotongan tiga mata, selepas gagal membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan utama serta simpanan bagi musim 2021.

Malang terus menimpa Perak FC apabila dikenakan hukuman pemotongan enam mata lagi dalam saingan Liga Premier, susulan kegagalan melunaskan baki tunggakan gaji mengikut tarikh akhir kedua ditetapkan.

Situasi itu meletakkan skuad ‘The Bos Gaurus’ dalam situasi genting, kerana hukuman lebih berat akan dikenakan termasuk risiko penarikan lesen dan penyingkiran dari liga, jika masih gagal menyelesaikan isu tunggakan itu hari ini.

 — BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram