PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hadir pada majlis pengebumian bekas Menteri Pertahanan Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail hari ini.

Jenazah Tengku Ahmad Rithauddeen selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di Kuala Lumpur pada 11.20 pagi, yang turut dihadiri kira-kira 100 ahli keluarga dan sahabat.

Ismail Sabri turut menaburkan bunga dan menyiram kubur Allahyarham. Selepas itu, Perdana Menteri menziarahi isteri Allahyarham, Tengku Puan Seri Nooraini Tengku Zainal Abidin, 83.

Perdana Menteri berkata pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan amat besar kepada negara kerana Allahyarham adalah seorang pemimpin yang disegani bukan sahaja dalam kerajaan bahkan juga arena politik. 

“Sebagai ahli UMNO jawatan tertinggi yang pernah dijawat Almarhum adalah Naib Presiden UMNO dan banyak kementerian diterajui oleh Allahyarham sewaktu dalam kerajaan dahulu. Jawatan terakhir Allahyarham dalam UMNO adalah sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin, maknanya sumbangan Allahyarham kepada UMNO berterusan. 

“Sebagai ahli UMNO kita tahu sumbangannya dan kita sangat menghargai sumbangan dan pengorbanan besar Allahyarham. Sumbangannya kepada negara tidak ternilai dan pihak kerajaan mengucapkan terima kasih kepada Allahyarham,” katanya yang kelihatan sebak.

BERITA BERKAITAN Tengku Ahmad Rithaudeen meninggal dunia

Terdahulu, jenazah Tengku Ahmad Rithauddeen disembahyangkan di Masjid Wilayah Persekutuan diimamkan Imam Besar masjid itu Muhyidin Aziz dan disertai lebih 200 jemaah.

Tengku Ahmad Rithauddeen, 94, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Jalan Duta di sini pada 8.43 malam tadi, akibat sakit tua.

Selain berkhidmat sebagai Menteri Pertahanan dari 1987 hingga 1990, Tengku Ahmad Rithauddeen pernah dilantik sebagai Menteri Fungsi Khas untuk membantu Tun Abdul Razak di Kementerian Luar Negara (1973) sebelum menjadi Menteri Penerangan dan Fungsi Khas (1974).

Beliau kemudian menyandang jawatan Menteri Hal Ehwal Luar Negara (1975), Menteri Perdagangan dan Industri (1981) sebelum dilantik semula sebagai Menteri Luar Negara (1984) dan Menteri Penerangan (1986).

Sementara itu, anak keempat Tengku Ahmad Rithauddeen daripada lima beradik, Tengku Farith, 50, mewakili ibunya mengucapkan terima kasih kepada ahli keluarga, sahabat dan orang ramai yang membantu menguruskan pengebumian bapanya. 

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua sahabat dan ahli keluarga yang hadir untuk mengakhiri proses pengebumian ayahanda kami. Saya minta agar segala dosanya diampunkan dan sama-sama kita berdoa agar beliau ditempatkan dalam kalangan orang yang soleh,”  katanya. 

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram