PENYANYI Yasin Sulaiman sempat mencipta sebuah lagu berjudul Bebaskan Aku ketika berada di Penjara Sungai Buloh.
Difahamkan, khabar tersebut dikongsikan sendiri oleh ahli keluarga Yasin menerusi akaun Instagram miliknya, hari ini.
“Lagu ini dicipta oleh Yasin semasa di Penjara Sungai Buloh.
“Yasin meminta lirik lagu ini dikongsikan di Instagram untuk sahabat, teman dan peminat,” tulisnya.
Menerusi lagu tersebut, Yasin, 46, meluahkan perasaan dan tentang dirinya yang berada dalam keadaan baik sepanjang berada di balik tirai besi.
“Ku utuskan kata-kata di sebalik tirai besi. Tanpa dapat ku titiskan air mata sepi. Bila ku katakan semuanya baik di sini. Ku tak ingin engkau rasa susah hati.
“Hatiku berkecai seolah sudah tiada dan jiwaku ini terus meronta. Ingin bebas dan bersamamu semula. Tuhan lepaskan aku dari rantai ini. Berikanku cahaya dari kegelapan ngeri.
“Ku ingin kembali pada yang ku kasihi dan hidup seperti dulu lagi,” tulisnya lagi.
Lirik lagu terbabit dicipta bersama seorang lagi penulis yang dikenali sebagai Jo Tan.
Untuk rekod, Mahkamah Sesyen dan Majistret memutuskan bahawa Yasin tidak dibenarkan ikat jamin atas dua pertuduhan iaitu menanam dan mengedar 17 pokok ganja di kediamannya di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3 Kota Damansara.
Yasin didakwa mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya.

