POLIS berjaya menumpaskan sindiket pengedaran syabu melibatkan rampasan sebanyak 222.331 kilogram (kg) bernilai RM7.1 juta menerusi satu serbuan yang dilakukan di sebuah gudang penyimpanan kereta di Gombak pada 14 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, serbuan tersebut telah dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak kira-kira pukul 9.30 malam.
Menurut beliau, hasil serbuan telah menemukan sebanyak 212 bungkusan plastik mengandungi dadah jenis syabu dalam sebuah kereta Toyota Vios ditinggalkan di gudang itu.
Susulan serbuan itu, Noor Ariffin berkata, siasatan lanjut telah membawa kepada penangkapan seorang lelaki tempatan di sekitar Gombak.

Beliau berkata, pihaknya percaya kesemua dadah yang dirampas diperolehi dari negara jiran untuk pasaran sekitar Lembah Klang.
“Suspek berusia 25 tahun itu dipercayai berperanan sebagai transporter atau penghantar dadah berkenaan.
“Suspek yang bekerja sebagai penjual kereta terpakai tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan hasil ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu negatif dadah.
“Kami sedang mengesan saki baki sindiket ini. Suspek direman selama 12 hari sehingga esok untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya dalam sidang media hari ini.

Baca artikel lain: Jumlah penagih dadah di ibu negara menurun hampir 14 peratus
Sementara itu, Noor Ariffin memaklumkan, pihaknya juga telah menahan dua individu yang juga pasangan kekasih bersama rampasan dadah jenis ganja seberat 2.072 kg.
Katanya, dua individu tersebut iaitu seorang lelaki warga asing berusia 35 tahun bersama kekasihnya seorang wanita tempatan berusia 47 tahun ditahan selepas ganja berkenaan ditemukan dalam sebuah kereta Honda City di Desa Jaya, Gombak, kelmarin.
Beliau berkata, suspek lelaki yang ditahan adalah penuntut di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di negara ini dan masuk ke Malaysia sejak 2016, manakala suspek wanita pula bekerja sebagai eksekutif insurans.
“Pemeriksaan dilakukan dalam kenderaan itu menemui dua plastik berisi daun kering dipercayai ganja seberat 2.072 kilogram dianggarkan bernilai RM6,423.

“Siasatan awal dilakukan mendapati dadah berkenaan dipercayai bagi pasaran di sekitar daerah ini,” katanya.
Semakan mendapati kedua-dua suspek itu tidak mempunyai rekod kesalahan lampau manakala ujian air kencing pula negatif dadah.
Kedua-dua suspek telah direman selama tujuh hari sehingga Selasa depan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B ADB 1952.
Keseluruhan dadah dirampas bagi kedua-dua kes berkenaan boleh dibekalkan kepada 226,475 penagih dadah.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

