Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu, Abdul Halim Husin. GAMBAR: Abd Razak Aid

Pada 29 April lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan Kementerian Kewangan telah meluluskan pemberian lesen bank digital kepada lima pemohon daripada 29 permohonan secara keseluruhan.

Menurut BNM, tiga pemohon dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (APK) iaitu Konsortium Boost Holdings Sdn Bhd dan RHB Bank Berhad; Konsortium yang diterajui oleh GXS Bank Pte Ltd dan Kuok Brothers Sdn Bhd; dan Konsortium yang diterajui oleh Sea Limited dan YTL Digital Capital Sdn Bhd.

Dua lagi pemohon dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (APKI) adalah Konsortium AEON Financial Service Co, Ltd, AEON Credit Service (M) Berhad dan MoneyLion Inc; dan Konsortium yang diterajui oleh KAF Investment Bank Sdn Bhd.

Begitupun, melihat kepada senarai lima pemohon yang telah berjaya itu, terdapat kebimbangan daripada orang ramai apabila melihat kurangnnya penyertaan daripada syarikat Bumiputera.

Kegusaran itu turut disuarakan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) yang menganggap preskripsi pemberian lesen bank digital itu sebagai membimbangkan.

Berikut merupakan kenyataan penuh daripada MTEM:

Setelah ditangguhkan beberapa ketika, akhirnya BNM mengumumkan pemberian lima lesen bank digital yang pertama seumpamanya di Malaysia pada penghujung Ramadhan baru-baru ini. Dua daripada lesen tersebut yang tertakluk dibawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA) telah dianugerahkan kepada Konsortium AEON Financial Service Co., Ltd.-AEON Credit Service (M) Berhad-Money Lion Inc.; manakala bakinya kepada sebuah konsortium yang diketuai KAF Investment Bank Sdn. Bhd.

MTEM menyokong pemberian lesen bank digital sebagai instrumen kewangan baharu yang berpotensi besar dimajukan, pengumuman terbaru tersebut bagaimanapun tidak membayangkan kefahaman serta kesungguhan kerajaan untuk menangani kemelut sosioekonomi negara yang semakin meruncing.

Kebimbangan ini ada asasnya memandangkan tidak nampak pun perbezaan jelas antara pembida milik penuh tempatan dengan pembida asing (tiga daripada mereka adalah syarikat asing); atau antara pembida lesen digital bank konvensional dengan pembida lesen digital bank Islam walaupun mereka dinilai mengikut kriteria akta perkhidmatan kewangan yang berbeza. Bahkan jika dipecah-pecahkan lebih 29 syarikat usahasama atau konsortium yang memohon kepada syarikat-syarikat individu, agaknya berapa pula bilangan atau peratusan syarikat tempatan dan syarikat Bumiputera berbanding syarikat asing?

MTEM berpandangan sudah tentulah hal yang sebegini fundamental akan mempengaruhi hasil yang diinginkan kerajaan. BNM tidak seharusnya terlalu taksub menilai kelayakan dan kemampuan kewangan para pembida semata-mata, sehingga terlupa isu sebenar yang telah menghantui negara ini sekian lama melangkaui era kemelesetan ekonomi Pandemic Covid-19 lagi, iaitu untuk menangani ketidaksamaan dan memperbaiki status ekonomi termasuklah dikalangan golongan Melayu dan Bumiputera, baik isi rumah mahupun PMKS yang terjejas.

Perdebatan atas isu lesen-lesen bank digital juga mengaburi kedudukan sebenar kapasiti institusi bank untuk membantu pembangunan syarikat dan ekosistem Bumiputera. Hakikatnya syarikat-syarikat perbankan yang dikuasai Kerajaan secara langsung atau GLC dan GLIC hakikatnya melangkau lebih dari 60 peratus dari segi aset dan pemberian pinjaman dan pembiayaan. Namun perlaksanaan dan metodologi penilaian kredit yang bias meminggiri Bumiputera adalah punca. Adakah dengan penggunaan teknologi yang lebih canggih akan beri keadilan sosial? Dan jika benar kenapa pegangan Bumiputera dan GLC yang lebih besar dilihat tidak relevan sedangkan ia mampu menggoncang sistem perbankan yg sedia ada?

Begitu juga dengan kurangnya fokus pembangunan keusahawanan Bumiputera secara kolektif dan tahap kesektoran dan ekosistem juga antara sebab pembiayaan untuk Bumiputera tidak berkesan. Setakat pembiayaan syarikatsyarikat secara ‘standalone’ semata-mata tidak memadai. Disini mendedah kegagalan agensi-agensi yang sepatutnya main peranan untuk bina industri, sektor dan rantaian bekalan tetapi masih berpendekatan ‘old school’. Kegagalan untuk mendapat sebuah lagi instrumen pembangunan ekonomi ini menjadi bukti baru.

Oleh itu, MTEM suka menekankan peri-pentingnya pemberian lesen oleh BNM ini sebagai upaya untuk menaiktaraf tahap sosioekonomi warganegara khususnya golongan rentan, Melayu dan Bumiputera sebagaimana yang telah digariskan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB2030). Melalui Tindakan Pembangunan Bumiputera (TPB2030) pula, agenda untuk mengurangkan jurang kekayaan antara kaum melalui pemilikan efektif Bumiputera dalam sektor perbankan atau kewangan telah diangkat dan dipersetujui untuk dilaksanakan. Adakah TERAJU DAN TPB2030 ini sekadar hiasan semata-mata? Ini sepatutnya menjadi peluang Bank Bumiputera 2.0 yang lebih baik dengan penggunaan teknologi penilaian kredit yang lebih hebat melalui teklnologi yang
terkini.

Gabenor BNM sendiri mengakui dalam kenyataannya bahawa majoriti pendeposit kategori “unserved and undeserved” yang kritikal sehingga memerlukan penubuhan Bank Digital adalah dari kalangan Bumiputera. Namun BNM tetap mengambil keputusan untuk memperuntukkan hanya 40 peratus lesen kepada operator Islam-Bumiputera (itupun sebenarnya fakta yang masih boleh dipertikaikan) dan 60 peratus lagi kepada operator tidak patuh syariah yang mensasarkan hanya 8-15 peratus bakal pendeposit yang tidak pernah mempunyai akaun bank. Ini keputusan yang kurang bijaksana. Jelas BNM tidak ambil peduli dengan apa jua kehendak kepimpinan negara yang mempengerusikan pelbagai Majlis ekonomi.

Gabenor BNM dalam kenyataan yang sama turut mengakui bahawa industri perbankan bukanlah sektor yang menguntungkan dan perlukan antara tiga ke sepuluh tahun untuk stabil. MTEM khuatir jika pemegang-pemegang lesen ini terpaksa memberi perkhidmatan kepada peminjam berisiko besar dan mengenakan kadar faedah lebih tinggi; atau lebih buruk lagi menawarkan produkproduk mereka kepada pelanggan sedia ada yang lebih selamat dan menguntungkan. Seharusnya bukan modal menjadi kriteria utama tetapi model perbankan dan teknologi yang digunakan perlu diberi keutamaan, seperti
perbankan alternatif antaranya perbankan waqf , koperasi dan perbankan yang bukan berteraskan riba atau tawarruq.

Di negara-negara lain, Bank Digital lebih bersifat neo bank atau bank-bank kecil untuk mengimbangi pegangan bank-bank kapitalis yang suka meletakkan kumpulan “unserved and undeserved” dalam kategori nilai kredit rendah, termasuklah mereka yang kurang mendapat perkhidmatan dan tidak berkhidmat, mereka yang tidak mempunyai akaun bank atau di kawasan terpencil yang tiada cawangan bank tetapi masih mempunyai akses kepada sambungan internet.

Tetapi di Malaysia nampaknya keadaan belum berubah. Pemberian lesen kepada konsortium (bagi memenuhi kriteria yang ditetapkan BNM) atau kepada syarikat-syarikat gergasi asing nampaknya seperti mahu terus mengikut acuan bank-bank kapitalis, atau cenderung untuk mengikut model bank digital negara-negara bertaraf city-states seperti Hong Kong, Singapura dan Israel yang sudah tentu tidak sama dengan matlamat serta kehendak kita di Malaysia.

Pada masa yang sama, MTEM sememangnya bimbang dengan kadar keberhutangan individu dan negara yang terlalu tinggi, tetapi lebih gusar melihat kecenderungan kerajaan untuk menggalakkan rakyat berhutang dan bukan sebaliknya. Perbankan digital berpotensi mendedahkan kumpulan sasaran kepada kredit, dan jika mereka tidak mempunyai pengetahuan kewangan yang betul mereka akan terbeban dengan hutang tanpa ada jalan untuk membayar semula hutang-hutang tersebut. Perbankan digital mesti menyelesaiakan masalah bukan menambah.

Sebagai contoh, baru-baru ini syarikat operator komuter tanpa tunai Touch ’n Go telah mengumumkan skim GOPinjam yang dilancarkan oleh Menteri Kewangan Malaysia. Pembiayaan segera ini bagaimanapun mengenakan caj faedah sehingga 36 peratus setahun iaitu hampir sekali ganda lebih tinggi daripada caj kad kredit biasa. Ramai juga pemohon yang mengadu tidak layak meminjam kerana tiada rekod kredit atau latar belakang kredit mereka buruk.

Lantaran keengganan untuk memperakui dan menyokong usaha-usaha memenuhi aspirasi WKB2020, pada hari ini kita ulangi kesilapan yang sama walaupun kerajaan dikuasai dan didominasi Bumiputera dan orang Islam.

Kadar hutang rakyat Malaysia mencecah 89 peratus daripada KDNK, dan sebagaimana
yang telah didedahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan
Undang-undang), Malaysia telah merekodkan lebih 11,207 kes bankrap baharu antara Mac 2020 hingga September 2021. Pemberian lesen bank digital kepada pembida yang dilantik nampaknya tidak berminat mencari penyelesaian yang lebih tuntas.

Instrumen Wakaf merupakan antara kaedah penyelesaian lestari yang sering disebut-sebut tetapi jarang diaplikasikan sedangkan kaedah ini amat serasi dengan keperluan Bumiputera Muslim dan negara, dan telah terbukti berjaya sejak ratusan tahun dahulu. Instrumen wakaf juga telah melalui era pembaharuannya sendiri dengan pengiktirafan wakaf korporat serta penubuhan Bank Wakaf sebagai model perkhidmatan kewangan yang lebih mampan.

Malaysia sebagai sebuah negara Islam progresif dan pelopor kepada sistem kewangan Islam patuh syariah yang dihormati dunia berada pada kedudukan terbaik untuk memacu sistem wakaf ke peringkat yang lebih tinggi dan kita ada pakar-pakar khusus untuk menyediakan kriteria pembangunannya. Usaha ini telah pun dimulakan.

Antaranya, mesyuarat Majlis Kemakmuran Bumiputra (MKB) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 15 Jun 2021 telah meluluskan cadangan pemberian lesen bank dibawah IFSA 2013 untuk sektor Koperasi dan Bank Waqaf. MKB juga telah menyarankan agar permohonnan rasmi dibuat melalui proses Rangka Kerja Perlesenan yang dikeluarkan oleh BNM. Malangnya, kelulusan MKB ini tidak disambut atas sebab-sebab yang tidak diketahui. Adalah MKB masih relevan atau sekadar retorik semata mata dalam membuat dasar dan keputusan strategik negara?

Risiko untuk tidak mahu cuba memahami kesan digitalisasi ekonomi dan kewangan
termasuklah perbankan digital dan fintech akan merugikan kita semua. Kita yakin
Perbankan Digital yang dikuasai kepentingan orang asing tidak mampu menggugat Perbankan konvensional? Teringat bagaimana industri teksi dan telefon bimbit dijahanamkan dengan kemunculan aplikasi e-haling dan telefon pintar.

MTEM dengan ini menggesa kerajaan pimpinan Perdana Menteri membuktikan ketegasan dalam melaksanakan Agenda Bumiputera yang diperakui perlembagaan negara sebagai agenda nasional. Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sebagai dokumen utama yang perlu dirujuk sebelum memuktamadkan sebarang polisi dan dasar tanpa sebarang pengecualian termasuklah dalam pemberian lesen atau permit selagi mengikut syarat syarat yang ditetapkan.

Kami juga ingin menyarankan agar BNM tidak terus menutup pintu dalam pemberian lesen perbankan digitalnya bagi melihat instrumen perkhidmatan kewangan yang lebih segar yang mampu menangani permasalahan sosioekonomi, pada masa yang sama tidak mendedahkan negara dan rakyat kepada risiko kredit dan bebanan hutang melampau. Ini sebenarnya adalah peluang untuk Perbankan atau Pembiayaan Alternatif yang lebih mesra rakyat dalam bentuk digital.

MTEM mengucapkan tahniah kepada para pembida yang telah berjaya memperoleh lesen bank digital dan berharap agar kelebihan tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi agama, bangsa dan tanahair dengan erti kata sebenar.

Abdul Halim Husin
Pengerusi MTEM