Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri mengesahkan pingat emas kelapan sukan terjun dan kesembilan keseluruhan buat kontinjen Malaysia setakat ini di Sukan SEA Hanoi. GAMBAR: Twitter Team Malaysia

MALAYSIA mengesahkan penguasaan dalam sukan terjun bagi temasya Sukan SEA Hanoi kali ini selepas menyapu bersih kesemua lapan pingat emas yang dipertandingkan. 

Ini selepas gandingan ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong Pamg dan Nur Dhabitah Sabri mengungguli acara 10 meter platform wanita di Pusat Akuatik My Dinh, sebentar tadi. 

Pandelela dan Nur Dhabitah menampilkan aksi mengagumkan apabila jauh meninggalkan peserta lain. 

Pasangan terjun itu berjaya memperoleh 292.14 mata meninggalkan gandingan Singapura, Ong Rei En-Ong Sze En di tangga kedua dengan 225.42 mata selepas lima terjunan. 

Pingat gangsa pula dimenangi penerjun Vietnam, Bui Thi Hong Giang-Mai Hong Hanh yang mencatatkan 185.25 mata. 

Hanya 3 pasangan menyertai acara 10 meter platform wanita itu. 

Kemenangan itu juga merupakan emas kedua peribadi Nur Dhabitah dalam Sukan SEA Hanoi kali ini. 

Baca artikel berkaitan: Sukan SEA: Emas ketujuh negara dari gelanggang silat

Sebelum itu, kem terjun negara dihadiahkan dengan emas ketujuh yang juga kutipan kelapan keseluruhan buat kontinjen Malaysia menerusi Muhammad Syafiq Puteh dalam acara tiga meter papan anjal individu lelaki. 

Muhammad Syafiq, 27, meraih pingat emas selepas mengumpul 381.35 mata menewaskan rakan senegara, Gabriel Gilbert Daim yang memperoleh perak dengan 357.30 mata. 

Penerjun Thailand, Chawanwat Juntaphadawon pula terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa menerusi kutipan 340.35 mata. 

Sebagai rekod, Malaysia menyapu bersih pingat emas acara terjun sejak edisi di Myanmar pada 2013 diikuti Singapura 2015 dan Filipina pada tahun 2019. 

Skuad terjun hanya terlepas satu pingat emas semasa temasya Sukan SEA Kuala Lumpur pada 2017. 

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram