PETRONAS merupakan entiti sesuai untuk mengambil alih dan melakukan perubahan segera bagi menyelamatkan Sapura Energy Berhad daripada muflis.
Pandangan itu disuarakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang turut berpandangan langkah tersebut dilakukan tanpa menggunakan dana langsung kerajaan.
Menurut beliau, ia penting kerana pegangan ekuiti SEB disertai Permodalan Nasional Berhad (PNB) menerusi lebih 10 juta pemegangan saham amanah, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).
“Seperti yang telah diutarakan dalam debat perdana antara dua tokoh politik empat hari lalu, kita lihat syarikat yang pegangan ekuitinya disertai PNB seperti Sapura Energy di mana lebih 10 juta pemegangan saham amanah ASNB turut mempunyai kepentingan mesti dibantu.
“Sebanyak lebih RM5 bilion telah dilaburkan oleh PNB. Syarikat itu menggaji lebih 10,000 tenaga kerja dan lebih 3,000 vendor terlibat.
“Tanpa menggunakan dana langsung kerajaan, Petronas sesuai mengambil alih dan melakukan ‘turn-around’ sesegera mungkin.
“Namun, kita bersetuju supaya pengauditan forensik wajib dilakukan agar lebih telus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Persidangan Agung Khas UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.
Baca artikel berkaitan: Pinda Perlembagaan UMNO strategi hadapi PRU – Ahmad Zahid
Malah, Ahmad Zahid turut meluahkan keyakinan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO dapat melakukan perkara berkenaan demi kepentingan bumiputera dan rakyat.
“Kalau itu dapat dilakukan oleh kerajaan dengan keazaman politik yang kuat, saya yakin Perdana Menteri akan dapat melakukannya,” jelas beliau.
Pandangan Ahmad Zahid itu merupakan respons terhadap debat perdana, Khamis lalu antara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai isu tersebut.
Najib mencadangkan supaya Petronas mengambil alih kepentingan Sapura Energy untuk menyelamatkannya daripada muflis.
Anwar pula menggesa kerajaan melakukan audit forensik terhadap Sapura Energy bagi mengenal pasti masalah dalam usaha menyelamatkan syarikat tersebut.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, UMNO juga mahu melihat agenda-agenda Melayu dan bumiputera terus diperkasakan dalam tempoh dua dekad akan datang menjelang usia 100 tahun parti itu.
“Ini termasuk memperkukuhkan agensi-agensi amanah bumiputera.
“PNB, Tabung Haji, Felda, Mara dan institusi pegangan ekuiti bumiputera wajib menjadi agenda utama kerajaan tanpa tunduk dengan tekanan untuk agenda berkenaan dikesampingkan,” jelas beliau.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

