PELAKON dan penyanyi terkenal Siti Nordiana tidak pernah buang keinginan untuk berkahwin lagi dan tetap membuka hatinya buat sesiapa sahaja yang mahu.

Biarpun sudah hampir 13 tahun hidup bersama anaknya, keinginan untuk berkahwin itu masih ada namun dikekang oleh kesibukan dan komitmen yang tinggi dalam kerja seharian membuatkan dia terpaksa mengenepikan soal kebahagian diri.

Menurut ibu kepada Mohd Rayyan Nakhaie itu, dia turut mendoakan agar dipertemukan dengan jodoh yang baik semasa mereka menjalani ibadah umrah pada Mac yang lalu.

“Itu (doa agar ditemukan jodoh) harus! Jujurnya, saya doa secara rawak sahaja. Saya berdoa agar diperluaskan rezeki dan dipertemukan jodoh yang baik.

“Setakat ini, belum ada ura-ura untuk menamatkan zaman solo. Biarlah Allah yang tentukan. Berkawan-kawan itu ada, cuma mungkin belum sampai masanya… Doakan saya iya,” katanya memetik laporan BH Online.

Ketika menunaikan umrah buat kali kedua bersama anaknya, Siti Nordiana atau lebih mesra dengan panggilan Nana itu mengakui pengalaman menunaikan ibadah itu kali ini banyak memberinya pelajaran baharu.

“Kali ini agak berbeza dengan umrah pertama kerana ada banyak perkara yang saya pelajari. Apatah lagi, ustaz pengiring memberi banyak pengisian baharu.

“Jadi, saya fikir ini pengalaman paling bermakna buat saya.

“Ketika berada di Tanah Suci, saya berdoa agar sentiasa istiqamah. Maksudnya, ibadat apa yang saya lakukan di sana, dapat diteruskan secara konsisten sekembalinya ke tanah air.

“Saya juga berdoa agar ibadat saya selepas ini bertambah dan lebih baik daripada yang lalu,” katanya.

Nana juga memberitahu bahawa dia bersyukur dengan keadaan industri sekarang yang sudah kembali baik dan dia juga berharap agar aktiviti seni terus rancak sebegini.

“Alhamdulillah, kerjaya seni saya lancar semula. Sepanjang Ramadan lalu, saya banyak menerima tawaran menyanyi. Saya harap situasi ini berterusan… Insya-Allah,” luahnya lagi.

Untuk rekod, Siti Nordiana kini berusia 38 dan pernah berkahwin pada April 2006 dengan pelakon Allahyarham Faizal Yusof namun bercerai pada September 2019.

Hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Mohd Rayyan Nakhaie.