Sebahagian daripada perwakilan sebulat suara meluluskan usul meminda Perlembagaan UMNO sempena Perhimpunan Agung Khas UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

PERHIMPUNAN Agung Khas UMNO hari ini sebulat suara meluluskan usul meminda Perlembagaan UMNO yang antara lain membolehkan pemilihan parti diadakan tidak lebih daripada enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU).

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan perkara itu menerusi laman Twitter beliau.

“Diluluskan pindaan perlembagaan dengan sebulat suara oleh perwakilan dalam #Dewan Merdeka, #WTCKL pada 15/5/2022. Alhamdulillah,” katanya menerusi ciapan terbaharunya.

Usul  pindaan itu yang membabitkan Fasal 10.16, Fasal 15.3 dan Fasal 18.2 terdahulu dibentangkan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled di hadapan 2,586 perwakilan yang hadir. 

UMNO sebelum ini menangguhkan pemilihan parti di semua peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi selama 18 bulan selepas penggal 2018/2021 berakhir pada 30 Jun tahun lepas 

Jika dihitung, tempoh 18 bulan itu akan tamat hujung tahun ini dan pemilihan UMNO perlu diadakan sebelum 30 Disember 2022.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta pemimpin-pemimpin tertinggi parti menyanyikan lagu UMNO ketika hadir sempena Perhimpunan Agung Khas UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Baca artikel berkaitan: Pinda Perlembagaan UMNO strategi hadapi PRU – Ahmad Zahid

Berdasarkan dokumen pindaan yang dibentang, ia memperuntukkan dua cadangan fasal baharu iaitu Fasal 10.16.1 yang menyebut Majlis Tertinggi (MT) UMNO berhak menangguhkan pemilihan di peringkat MT, Bahagian dan Cawangan.

Ia menyebut: “Penangguhan berkenaan tidak boleh lebih daripada 18 bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya ia diadakan atau tidak lebih daripada enam bulan selepas diadakan sesuatu Pilihan Raya Umum Parlimen (Dewan Rakyat), yang mana terkemudian”.

Fasal 10.16.2 pula menyatakan tarikh PRU yang dinyatakan dalam Fasal 10.16.1 bermaksud tarikh mengundi bagi PRU yang dinyatakan dalam writ vang dikeluarkan mengikut Seksyen 12 Akta Pilihan Raya 1958 atau mana-mana undang-undang yang terpakai bagi tujuan sama.

Sementara itu kedua-dua Fasal 15.3 dan 18.2 turut memperuntukkan penangguhan serupa bagi pemilihan jawatankuasa ketiga-tiga sayap – Wanita, Pemuda dan Puteri di peringkat bahagian dan cawangan.

Persidangan Agung Khas UMNO itu berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) yang turut disusuli sambutan ulang tahun ke-76 parti terbesar orang Melayu itu dan jamuan Hari Raya Aidilfitri UMNO.

Ia turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram