PELAKON terkenal tanah air Raja Azura kini lebih memilih kerjaya sebagai pengacara berbanding berlakon.

Raja Azura yang telah berusia 49 tahun itu masih bergiat aktif dalam industri seni dan baru-baru ini turut membintangi filem Tiga Janda Melawan Dunia Arahan Hyrul Anuar,34.

Dia sempat memberitahu apabila ditemui semasa pratonton filem tersebut bahawa pada mulanya tidak mahu berlakon lagi kerana sudah lama tidak membintangi filem akan tetapi akhirnya dia menerima dan melakonkan watak sebagai Noraini.

“Pada mulanya apabila dimaklumkan oleh pembantu saya mengenai tawaran filem ini, memang tidak berminat langsung nak terima. Apatah lagi, judulnya ada ‘janda’ yang pada saya mungkin jalan ceritanya sama saja.

“Tetapi, apabila Hyrul menghubungi saya sendiri dan sanggup berjumpa untuk berbincang, saya fikir perlu juga beri peluang kepadanya. Pada pertemuan kami itu, saya lihat dia serius dan tak main-main,” katanya.

Usaha yang ditunjukkan oleh pengarah tersebut membuatkan hati Raja Azura yang juga pelakon filem Pemburu Bayang terpaut untuk membintangi filem tersebut dengan kegigihan dan keyakinan yang ditunjukkan dalam memujuk dirinya mengikuti projek itu.

“Melihat cara Hyrul membentangkan kertas kerjanya ketika kami berbincang, terus membawa saya mengingati yang beginilah juga nanti bakal dilakukan oleh anak saya yang kini melanjutkan pengajian di universiti. Mereka (anak) pasti berhadapan situasi seperti Hyrul itu, bagaimana nak meyakinkan orang dengan produknya.

“Bukan mudah sebenarnya untuk kita nak yakinkan orang. Saya tahu dan memahaminya. Jadi, saya terfikir kenapa tidak membantu memudahkan urusan orang lain (Hyrul) yang saya lihat macam anak sendiri, itu lebih baik. Tak fikir panjang, saya terus terima saja tanpa melihat dan membacanya skripnya dulu,” jelasnya lagi memetik Harian Metro.

Raja Azura turut memberitahu dia berasa seronok semasa melakukan penggambaran filem itu di samping memegang watak sebagai Noraini, seorang balu kematian suami yang mempunyai sebuah warung tomyam bersama ibu bapa mentuanya.

“Selain saya, ada dua lagi rakan pelakon yang membawa watak janda dalam filem ini iaitu Khatijah Tan sebagai Midah dan Normah Damanhuri dengan watak Rohayu. Kami bertiga sahabat baik di kampung itu.

“Apapun, saya berterima kasih dengan Hyrul kerana sudi memberikan tawaran watak Noraini kepada saya. Jikalau saya tolak filem ini dulu, rasanya pasti rugi. Karya seni Hyrul ini wajar ditonton kerana padat dengan mesej positif selain dimuatkan elemen komedi yang pecah perut ketawa,” katanya.

Selain itu, filem Tiga Janda Melawan Dunia yang bakal mula ditayangkan pada 19 Mei itu turut dibintangi pelakon terkenal tanah air seperti Norman Hakim, Rosnah Mat Aris, Ellyza Azizi dan Abbas Mahmood.

Untuk Rekod, Raja Azura pernah berkahwin dengan Adzmin Osman dan dikurniakan tiga orang anak iaitu Megat Muhammad Raziq, 20, Megat Luqman Hakim, 19, dan Puteri Mia Maizura, 17 namun pasangan itu disahkan bercerai pada 28 September 2010.