Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) GAMBAR: Abd Razak Aid

PASUKAN #RasuahBusters menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 19 Mei 2022 yang menyatakan komitmen kerajaan untuk menambah baik tadbir urus dan integriti perangi rasuah melalui Pelan Tadbir Urus Baik Nasional (MyGovernance).

Susulan itu, pihak #RasuahBusters melihat pengumuman tersebut sebagai suatu perkembangan progresif ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara yang meletakkan integriti sebagai keutamaan dalam nilai pentadbiran.

Sehubungan itu #RasuahBusters mengeluarkan kenyataan akhbar yang menegaskan perkara-perkara berikut:-

  1. Mewujudkan sebuah pelan yang komprehensif bagi pengamalan tadbir urus yang baik bukanlah perkara yang baru yang diusahakan oleh pihak kerajaan. Bahkan, Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) dengan 115 inisiatif telah meletakkan Malaysia sebagai satu-satunya negara yang mempunyai pelan anti rasuah yang komprehensif untuk dilaksanakan dalam jangka lima tahun.

Pihak kerajaan seharusnya turut memberi tumpuan kepada inisiatif NACP sekalipun hanya mencapai tahap perlaksanaan sebanyak 30 peratus, dengan menambahbaik dan meneruskan perlaksanaannya seiring dasar semasa pihak kerajaan.

  1. Analisa dan pemantauan terhadap sebarang inisiatif memperbaiki tadbir urus dan integriti dalam Negara memerlukan perincian kajian, libat urus dan tempoh masa yang cukup panjang untuk ke semua pihak menzahirkan perlaksanaan yang efektif dan berimpak tinggi kepada pemulihan governans Negara. Justeru, perlaksanaan MyGovernance daripada sudut ini harus mengambilkira segala strategi yang telah dibangunkan dan harus dicantum untuk merealisasikan ia sebagai tambah nilai kepada inisiatif terdahulu.
  2. Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (APPGM) (Pendanaan Politik) juga telah ditubuhkan. Kumpulan yang dianggotai Ahli Parlimen dan masyarakat sivil ini ini secara aktif membincangkan prinsip dan pembentangan RUU pendanaan politik yang amat penting sebagai asas demokrasi yang harus diiktiraf. Berdasarkan kenyataan media Perdana Menteri tersebut, kami menyatakan bahawa pembentangan RUU Pendanaan Politik ini juga adalah keutamaan pihak kerajaan untuk memastikan sistem politik yang stabil bergerak di atas paksi undang-undang yang khusus.
  3. RasuahBusters juga percaya bahawa reformasi institusi secara menyeluruh perlu dilaksanakan segera. Selain pegasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwaraya, SPRM, SPR dan Badan Kehakiman juga perlu diletakkan di bawah Parlimen dalam memastikan ketelusan dan keberkesanan semak imbang berdasarkan fungsi yang digariskan oleh perlembangaan Negara ini.
  4. Membawa hati nurani rakyat yang menghasratkan Negara ini tertegak di atas sistem yang berteraskan #NilaiMoralKarakterBangsa, #RasuahBusters berkeyakinan penuh, penglibatan masyarakat sivil, rakyat, pemegang taruh, amat penting untuk diberi peranan bagi memastikan komitmen yang dinyatakan dapat diimplementasikan segera.
  5. Komitment yang dinyatakan Perdana Menteri adalah petanda bahawa suara rakyat yang inginkan negara ini ditunjangi keadilan dan bebas rasuah dijadikan keutamaan bagi menjamin kestabilan.

Untuk itu, pastinya rakyat Malaysia akan terus memastikan hanya KEPIMPINAN yang telus, ikhlas dan berintegiriti sahaja yang akan dipilih dan diangkat memegang tampuk pemerintahan di negara ini.