PELAKON jelita Anna Jobling meluahkan harapannya agar diberikan banyak peluang membawakan watak orang Melayu.
Menurut Anna, atau nama sebenarnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman, 21, dia sudah lali dengan tanggapan terlalu ‘mat salih’ dan menyatakan dirinya mahu memegang watak menggunakan bahasa Melayu.
“Sejak kecil lagi, saya sering diberitahu awak terlalu putih (you’re too white) apabila menjayakan komersial TV. Sebelum ini pun, saya akui memang tak pandai langsung cakap bahasa Melayu.
“Tapi sekarang bukan isu pasal saya terlalu ‘mat salih’ atau tidak. Asalkan boleh membawa watak dengan baik, itu lebih penting. Awal dulu, banyak karakter yang memerlukan saya bercakap bahasa Ingeris sepenuhnya.
“Tapi sekarang saya memang nak sangat watak yang betul-betul Melayu dan skrip sepenuhnya Melayu. Kalau ada skrip Inggeris pun, biarlah sedikit sahaja, saya okay,” katanya memetik laporan Mstar.
Pelakon kacukan Inggeris-Melayu itu juga turut memberitahu bahawa dia lebih gemar aktiviti kerjaya seninya menjadi bualan tanpa sebarang kontroversi yang tidak elok.
“Saya tidak kisah kalau naik secara perlahan tapi konsisten. Saya tak nak naik secara mendadak hanya kerana kontroversi tapi selepas itu jatuh menjunam sekelip mata,” ujarnya.
Untuk rekod, Anna pernah memegang watak Emelia dalam filem Netflix berjudul Pasal Kau! pada tahun 2020.
Filem arahan Chen Kin-Wook itu juga turut dibintangi barisan pelakon hebat seperti Hairul Azreen, Janna Nick, Fify Azmi dan ramai lagi.
Dalam perkembangan lain, Anna bakal bergandingan dengan pelakon Meerqeen dalam drama terbarunya berjudul Melur Untuk Firdaus.
Drama yang diadaptasikan daripada novel My ‘Rude’ Wife karya Cik Nor Cinta itu akan mula ditayangkan pada 27 Mei, setiap Rabu hingga Sabtu, pukul 9 malam.

