WARGA emas yang tular dipukul oleh seorang pemuda di jalan raya berhampiran jejantas di Padang Jawa, Klang Ahad lalu, memaafkan lelaki tersebut, bagaimanapun tidak akan menarik laporan polis yang dibuatnya mengenai kejadian tersebut.
Zainol Din Hussain, 61, berkata, walaupun insiden berkenaan memberi kesan kepada kesihatannya yang mana dia mengalami kecederaan di muka, badan serta tulang rusuk, dia berlapang dada memaafkan pemuda berusia 23 tahun itu.
“Saya seikhlas hati memohon maaf sekiranya ada silap saya dan saya berlapang dada untuk memaafkan dia kerana tidak ingin kejadian ini berulang lagi pada masa akan datang.
“Saya juga merasa sedih dengan apa yang dilakukannya yang mana dia baru berusia 23 tahun iaitu di peringkat umur anak saya. Walaupun saya sedia memaafkannya, perkara ini saya serahkan kepada pihak polis untuk tindakan sewajarnya,” katanya memetik laporan Harian Metro hari ini.
Pada Ahad lalu, satu rakaman menunjukkan seorang lelaki sedang memukul warga emas tular di media sosial dan susulan kejadian itu, lelaki berkenaan ditahan pihak polis untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, ketika kejadian, mangsa yang juga seorang pesara dalam perjalanan ke Putrajaya bersama isteri dan cucu kira-kira pukul 12 tengah hari.
BERITA BERKAITAN Sebab belok tiba-tiba, lelaki tak puas hati belasah warga emas
Ketika membelok ke kanan menghala ke Alam Avenue, suspek yang menunggang motosikal Yamaha Y15 telah menjerit dan memarahi mangsa.
Warga emas itu telah berhenti untuk memeriksa sekiranya berlaku perlanggaran dan sebaik keluar kereta, suspek berusia 23 tahun terus menendang mangsa di dada kiri, dan duduk atas badan mangsa lalu menumbuk muka serta kepala mangsa bertubi-tubi.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai dakwaan bahawa dia menunjukkan isyarat tidak senonoh sehingga membuat lelaki itu berang, Zainol Din menafikan perkara itu dan memaklumkan dia tidak akan melakukan perkara sebegitu apatah lagi dirinya adalah warga emas.
“Umur saya sudah 60 lebih dan ada penyakit buah pinggang. Saya kena malu dengan diri sendiri dan Tuhan sebelum membuat provokasi sebegitu.
“Secara jujur saya tak buat benda tu dan saya juga tanyakan kepada isteri yang ada bersama adakah saya buat sedemikian secara tidak sengaja kepada pemuda itu dan dia kata tidak ada,” katanya.
Mengulas lanjut, pesara swasta itu juga menafikan bahawa dia memanggil penduduk kampung untuk memukul pemuda itu.
Katanya, orang kampung kenal dengannya yang sudah 30 tahun tinggal di kampung di situ dan ketika itu mereka cuba menyelamatkannya daripada terus dipukul.
“Saya memang tiada masa hendak panggil orang kampung masa tu. Kejadian terlalu pantas dan di luar kawalan saya. Orang kampung ke tempat kejadian sebab mereka kenal saya dan cuba untuk membantu saya, jadi dakwaan saya memanggil mereka untuk memukul pemuda itu adalah salah,” katanya.
“Sebagai orang tua, saya ingat saya melanggar dia atau dia melanggar kereta saya jadi saya berhenti. Saya tidak pasti apa yang dijeritkan pemuda itu. Saya cuma nampak dia patah balik dan terus terajang saya,” katanya.

