“Saya hanya meminjam daripada Allah,” kata pelakon, Datuk Adi Putra ketika diminta mengulas mengenai satu artikel di sebuah portal yang mendedahkan dia memiliki kekayaan sebanyak AS$5 juta (RM21.9 juta).
“Angka itu diberikan orang dan boleh jadi lebih dan boleh jadi kurang. Namun, ia hanya angka dan apa yang lebih penting adalah hala tuju kita sebagai manusia dan hamba-Nya.
“Apa yang perlu kita lakukan dengan tanggapan ini adalah perspektif secara keseluruhan adalah lumrah. Kalau nak menjawab ya atau tidak, saya tidak boleh kerana saya hanya meminjam daripada-Nya saja,” katanya memetik Harian Metro.
Selesa bergerak belakang tabir, Adi meminta semua pihak tidak mensensasikan isu terbabit sekaligus menggelarkan dirinya jutawan.
“Kalau boleh janganlah gelar saya jutawan. Saya lebih selesa bergerak di belakang tabir. Saya rasa semua dapat melihat sendiri di media sosial saya.
“Ada sesetengah pihak yang menunjukkan kemewahan mereka di laman sosial, itu hak mereka. Bagi saya, saya lebih suka di belakang sebab banyak lagi urusan yang harus saya ceburi. Lakonan masih ada dan kalau berhenti, mereka rindu,” ujarnya.
Dalam pada itu, Adi juga menjelaskan mengenai perniagaan agensi pelancongan yang ditubuhkannya sejak 2013 dan masih beroperasi sehingga ke hari ini dengan membawa jemaah umrah dan haji.
“Apa yang boleh saya kongsikan, pada 2013 saya menubuhkan satu syarikat agensi pelancongan menguruskan umrah dan haji sehingga sekarang. Cuma dua tahun itu (pandemik), tutup. Tapi, Alhamdulillah dengan kita permudahkan urusan ataupun orang, Insya-Allah Allah permudahkan urusan kita, dan capaikan hajat dan niat kita.
“Itulah permulaan saya dalam bidang perniagaan. Saya banyak di belakang tabir. Saya bukan pembimbing rombongan jemaah, tetapi saya menguruskan pentadbiran agensi saya dan juga yayasan supaya setiap manusia akan sampai ke destinasi mereka untuk melaksanakan ibadah umrah. Selagi ada Kaabah, selagi itu ada pekerjaan umrah mahupun haji itu harus dilaksanakan,” ulasnya.

