PENERBIT Eksekutif Bersama Ms Marvel, Sana Amanat mengakui sanggup menjalankan penggambaran semula bagi siri terbaharu Marvel Cinematic Universe (MCU) jika aktor Bollywood, Shah Rukh Khan berminat untuk berkolaborasi bersama mereka.
Menurut portal antarabangsa Star, dalam satu sesi temu bual bersama Times of India, Sana meluahkan perasaan terujanya jika berpeluang membawa pelakon Dilwale itu bersama mereka dalam menjayakan filem Ms Marvel.
“Kalau Shah Rukh Khan mahu berkolaborasi dalam filem ini, sudah tentu kami akan menjalankan rakaman semula. Kami pasti akan kembali kepada produksi.
“Shah Rukh Khan boleh dikaitkan dalam komik dalam aspek hubungan Bollywood bersama Kamala (nama adiwira Ms Marvel) dan kami sangat menyukainya.
“Ia akan menjadi sesuatu yang hebat dan kami sangat teruja dengannya. Kepada Shah Rukh Khan, jika kamu mahu bekerja dengan kami, kami bersedia untuk itu,” katanya.
Tambah Sana, dia sememangnyaz meminati Bollywood dan pelakon-pelakonnya sejak kecil lagi dan meluahkan bahawa keterlibatan pelakon berusia 56 tahun itu akan membantu meningkatkan mutu filem Ms Marvel.
“Sebagai seorang anak kelahiran Pakistan, saya sangat menyukai pelakon Bollywood sejak kecil lagi.
“Jadi dengan mempunyai pelakon seperti itu dan bersepadu dengan dunia Kamala akan membuatkan filem itu lebih bersifat global dan nyata,” ujarnya.
Untuk rekod, Ms Marvel akan mula ditayangkan bermula 8 Jun ini sebanyak enam episod di Disney+ Hotstar.
Apa yang lebih menarik, Ms Marvel juga akan menampilkan ramai barisan pelakon kelahiran Asia iaitu dari negara Iran, Pakistan, dan India seperti Iman Vellani, Mohan Kapoor, Arian Moayed dan ramai lagi.

