Ayam kampung, sayur kampung, ikan darat: Hari-hari jemu juga!

Dari Penulis

ALKISAH tersebutlah hikayat suatu ketika dahulu apabila harga ayam melambung, terdapat pemimpin yang bijak pandai berkata, berhenti makan ayam. Tukar makan ikan pula. Dengan itu harga ayam akan perlahan-lahan kembali ke paras normal apabila ramai enggan membeli.

Sekarang harga ayam kembali melambung, hingga dilapor melepasi harga siling. Seiring itu harga ikan juga naik mendadak. Jadi ingin pula dengar apa kata bijak pandai. Kali ini mereka hendak suruh rakyat makan apa pula?  

Malah bukan sahaja ayam dan ikan naik harga, harga barangan keperluan lain pun naik. Minyak masak naik, tak kiralah jenama apa. Sayur pun naik harga. Kacang panjang, kobis, kacang boncis, mentimun, sawi, semua jauh melepasi harga sebelumnya. 

Selepas pandemik Covid-19 berlalu dan negara memasuki fasa endemik, serta sektor ekonomi dibuka sepenuhnya, ia diharap memberi kelegaan kepada rakyat. Tetapi rupa-rupanya rakyat terjerat pula dengan kenaikan harga barang.

Kalau ikut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, inilah waktu terbaik untuk rakyat membela ayam dan menanam sayur sebagai strategi menghadapi kenaikan harga bahan tersebut. Hendak di katakan pendapat bijak, ramai pula yang mengkritik.   

Kaedah penyelesaian beliau begitu mudah, bagai sambil lewa. Naik harga ayam, bela ayam. Naik harga sayur tanam sayur. Maka teringatlah kembali kata-kata bijak pandai dalam hikayat dahulu seperti yang penulis sebut di atas. 

Para pemimpin sepatutnya memberi cadangan atau cara penyelesaian yang lebih praktikal. Misalnya mencari dan mendalami punca sebenar kenaikan harga serta memberi fokus mengatasinya untuk jangka panjang. Pandangan pemimpin mesti kelihatan lebih pintar dan boleh menjadi ikutan. 

Baca artikel berkaitan: Apabila petir berdentum, warga kota didakap bimbang

Harga jualan siling dikuatkuasa untuk ayam yang mesti dipatuhi. Tetapi yang berlaku, ada peniaga menjual pada harga jauh melebihi harga siling. Kerajaan seolah-olah tidak mampu mengawal.  Pemborong dan penjual menjadi raja, tanpa rasa takut atau bersalah merempuh siling ditetapkan.  

Menurut laporan, harga siling ayam di bawah Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) juga akan dikaji semula. Sama ada harga di bawah skim itu diteruskan atau sebaliknya selepas berakhir pada 5 Jun akan diputuskan oleh kabinet. 

Berbalik kepada saranan Saarani. Di kampung, membela ayam sebagai haiwan peliharaan memang biasa. Tetapi jika di bandar bagaimana hendak bela? Hendak kurung ayam dalam reban atau biarkan berkeliaran?

Bunyi bising dan bau najis sudah cukup menyebabkan perang sesama jiran.Memang boleh ayam peliharaan dijadikan lauk. Tetapi kalau hari-hari makan daging ayam kampung jemu juga. Ibarat kata orang, kalau hari-hari mengadap benda sama, sekali sekala hendak juga benda lain.

Ikan boleh menjadi alternatif. Tetapi hendak beli ikan pun mahal. Ikan kering pun mahal. Jadi mungkin lepas ini ada pemimpin yang cadangkan supaya memancing atau menjala sendiri ikan di parit-parit dan kolam dekat rumah atau sekitar kampung.

Bolehlah dapat ikan puyu, sepat, keli atau haruan. Tetapi tak lalu juga hari-hari makan ikan darat. Teringin juga makan ikan kembung, gelama, tongkol atau cencaru. 

Menteri Besar Perak suruh tanam sayur. Sebenarnya di sekeliling rumah selalunya kangkung hidup subur. Di dalam kebun ada pucuk paku. Selain itu pucuk ubi pun ada. Juga ada jantung pisang. Semua boleh dibuat sayur. Cuma hendak juga bertukar selera. Kobis, salad, sawi, kacang boncis pun hendak dirasa juga. 

Kerana itu para pemimpin janganlah memberi penyelesaian mudah dan sambil lewa. Ia hanya menyakitkan hati mereka yang mendengar kerana seolah-olah diperbodohkan. Ini sama seperti menyuruh mereka yang membantah tol lebuh raya agar melalui jalan lama secara percuma.

Sudah tentu sebagai rakyat negara ini, mereka mahu menggunakan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan. Jadi sebaik-baiknya carilah cara agar kadar tol tidak terlalu membebankan. Orang yang tidak banyak duit pun ingin menempuh perjalanan lebih cepat dan lancar.

Justeru dalam isu kenaikan barang seperti ayam dan sayur, penyelesaian proaktif dan konkrit sangat perlu. Langkah menyekat eksport untuk menstabilkan harga ayam dikira baik, sekurang-kurangnya sehingga harga kembali stabil. 

Diharap jangan ada pihak sengaja mengambil kesempatan menyekat atau mengawal pengeluaran ayam atau sayuran dengan harapan harga naik. Jangan menangguk di air keruh. Jika situasi ini berlaku, mungkin kempen anti sorok yang pernah dilaksanakan suatu masa dahulu diaktifkan kembali. 

Kenaikan barang yang mana negara adalah pengeluar utama juga membingungkan rakyat. Ambil contoh kes minyak masak. Malaysia ialah negara pengeskport minyak sawit kedua terbesar di dunia. Tetapi cuba teliti harga minyak masak lima kilogram. Dahulu satu botol tidak sampai RM25. Sekarang rata-rata melepasi lebih RM30. 

Ini satu isu besar yang perlu diatasi dengan bijak. Indonesia, pengeksport terbesar minyak sawit dunia sebelum ini pernah menyekat eksport sebagai usaha mengawal harga minyak masak dalam negara serta memastikan bekalan untuk pasaran tempatan mencukupi.  

Malaysia harus menjadikan ini sebagai perbandingan. Apa salahnya mengambil contoh yang baik. Apa juga hasil negara, keutamaan adalah untuk rakyat sendiri terlebih dahulu, baru fikirkan orang lain. 

* Penulis memulakan kerjaya kewartawanan di Berita Harian pada 1979 sebelum menyertai Utusan Melayu pada 1980. Beliau kemudian melanjutkan pengajian kewartawanan sehingga peringkat sarjana di Boston University, Amerika Syarikat. Jawatan terakhir Penolong Ketua Pengarang Utusan

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Empat direman dera pembantu rumah di Johor

DUA pasangan suami isteri ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam insiden memukul tiga pembantu rumah warga Indonesia yang rakaman...

More Articles Like This