SEBANYAK 14 jalan utama di Kuala Lumpur dinaiki air dalam kejadian banjir kilat baru-baru ini. - Gambar KLCCC

PANAS setahun boleh terhapus oleh hujan sehari. Namun di ibu negara Kuala Lumpur sekarang jangankan hujan sehari, hujan lebat beberapa jam sahaja sudah menakutkan kerana hampir pasti banjir kilat akan melanda.

Bermula dengan banjir kilat yang melanda Lembah Klang pada Mac 2022, ia kini bagai drama bersiri setiap kali hujan. Pada 25 April lepas, ia berlaku lagi setelah beberapa jam hujan lebat di seluruh Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

Yang terbaharu pada 25 Mei apabila beberapa kawasan dinaiki air, antaranya Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Imbi, Jalan Ipoh/Jalan Rahmat, Jalan Sultan Ismail/Jalan Ampang, Jalan Kampar off Jalan Sentul, Kampung Periuk dan Jalan Dang Wangi.

Banjir yang melanda beberapa kawasan di Lembah Klang pada Mac 2022, dianggap paling buruk, meninggalkan trauma mendalam kepada penduduk Kuala Lumpur dan Shah Alam khususnya di Taman Seri Muda, Shah Alam, antara yang paling teruk terkesan.

Di Kuala Lumpur pula banyak kawasan dilimpahi air, termasuk yang teruk kawasan Masjid Jamek, serta kawasan lain seperti Brickfields, Bangsar, Dataran Merdeka dan lain-lain. Ia mengembalikan kenangan banjir besar yang melanda ibu negara pada 1971, yang dianggap banjir paling teruk melanda ibu kota.

Salah seorang penduduk duduk di hadapan rumahnya yang ditenggelami air dalam kejadian banjir di Taman Seri Muda, Shah Alam, Disember lalu. GAMBAR: Abd Razak Aid

Dalam kedua-dua situasi ini, ada yang terkorban nyawa. Banyak harta benda musnah seperti rumah dan kediaman dihanyutkan oleh arus deras. Ratusan kenderaan tenggelam. Lebuh raya dan jalan raya terputus hubungan, ramai terkandas dalam perjalanan.

Peristiwa tersebut mendatangkan fobia kepada warga kota. Apa yang terjadi adalah pengalaman pahit yang tidak mudah dilupa. Selepas peristiwa itu, setiap kali hujan lebat, warga Kuala Lumpur didakap bimbang. Mereka cemas apabila mendengar bunyi petir berdentum kerana ia tanda hujan lebat bakal membanjiri ibu kota.

BERITA BERKAITAN Banjir: APM selamatkan 17 penghuni rumah jagaan warga emas

Sampai bila fenomena ini harus dibiar menghantui warga kota dan Lembah Klang? Nampaknya segala usaha yang dibuat bagi mengelakkan banjir seperti pembinaan terowong SMART serta kolam takungan air tidak mampu mengekang limpahan air.

Air yang terlalu banyak menyebabkan penebat banjir tidak dapat berfungsi dengan berkesan. Begitu juga bumi tidak dapat menyerap kesemuanya dalam waktu singkat menyebabkan banjir tidak dapat dielak.

Memang berasas kebimbangan warga kota dan Lembah Klang terhadap ancaman banjir. Jika rumah musnah atau rosak teruk dibawa air deras, bukan mudah untuk dibaiki atau didirikan semula. Kosnya tinggi.

Begitulah juga jika kenderaan rosak ditenggelami air. Lebih menyedihkan jika tiada insuran untuk melindungi.

Justeru, isu ini tidak harus dibiar berpanjangan. Apabila hujan lebat, risiko banjir sudah diduga kerana ia hampir pasti terjadi. Kerana itu kebimbangan warga kota mesti dibendung, apatah lagi dalam cuaca sekarang di mana hujan begitu kerap.

Sehubungan itu, langkah-langkah pencegahan, baik jangka pendek atau jangka panjang, mesti dilaksanakan segera oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Sementara menungggu penyelesaian jangka panjang, sekurang-kurangnya pendekatan jangka pendek atau interim mesti dilakukan bagi meminimumkan risiko.

Salah satu faktor yang sering dikaitkan dengan banjir ialah aliran air yang tidak lancar disebabkan ada halangan. Misalnya longkang tersumbat kerana sistem perparitan atau saliran air tidak diurus dengan baik menyebabkan air bertakung. Ini ditambah dengan kelodak dalam kolam takungan air.

SALAH satu kawasan di ibu kota yang dilanda banjir kilat.

Halangan laluan air mungkin berpunca daripada terlalu banyak projek pembangunan di ibu negara serta sikap pemaju yang tidak bertanggung jawab. Mereka tidak mematuhi peraturan agar segala sisa buangan dilupuskan di tempat khas. Sebaliknya ada yang bersikap sesuka hati membuangnya di mana-mana menyebabkan laluan air tersekat.

Difahamkan, pihak DBKL kini berusaha menangani masalah melalui pelaksanaan ‘Pelan Tindakan Banjir Kilat 2022’ dengan kos RM10 juta. Ia merupakan projek interim yang kini sedang dilaksanakan. Tiga bulan ditetapkan sebagai tempuh mengesan keberkesanan awal. Dalam tempuh itu, proses menambah baik akan dilakukan di mana perlu.

Termasuk di dalam pelan tindakan ini ialah memperbaiki longkang, membina pam banjir baharu, meletakkan beg pasir penahan limpahan air serta membuang kekotoran dan kelodak dalam kolam takungan banjir.

Dipercayai langkah ini akan melancarkan aliran air, di samping air dapat dipam dan disalurkan ke dalam kolam takungan. Kolam yang dibersihkan dan dibuang keladaknya akan membolehkannya menampung lebih banyak air.

Ini amat penting kerana memang banyak kawasan rendah di ibu negara yang sering diancam banjir. Antaranya Kepong, Jalan Pintasan Segambut, Bulatan Datuk Onn, Dataran Merdeka, Kampung Kassipilay, Jalan Travers (Bangsar) dan Jalan Tun Sambanthan (Brickfields).

Kerana itu dalam menerima hakikat bahawa banjir di Kuala Lumpur ialah masalah berterusan, segala usaha mesti dilakukan untuk mengatasinya. Projek pembangunan mesti diawasi, tindakan mesti diambil terhadap pemaju yang ingkar mematuhi syarat pembangunan.

Pada masa sama mungkin juga boleh difikirkan mengenai menambah baik operasi terowong SMART serta menambah kolam takungan di ibu negara. Jangan sekali-kali mengubah status kolam takungan menjadi kawasan pembangunan. Tidak berbaloi banyak pembangunan tetapi ibu negara sering ditenggelami air.

* Penulis memulakan kerjaya kewartawanan di Berita Harian pada 1979 sebelum menyertai Utusan Melayu pada 1980. Beliau kemudian melanjutkan pengajian kewartawanan sehingga peringkat sarjana di Boston University, Amerika Syarikat. Jawatan terakhir Penolong Ketua Pengarang Utusan


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!

Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram