Zamani sedih lihat tubuh semakin bengkok, bakal lakukan pembedahan namun peluang sembuh sangat rendah

Dari Penulis

PENYANYI terkenal dengan lagu Gerimis Mengundang, Zamani akui sedih melihat bentuk tubuhnya yang semakin membongkok akibat menghidap penyakit scoliosis atau tulang belakang bengkok.

Zamani atau nama sebenarnya Zamani Ibrahim memberitahu bahawa dia menyedari tubuhnya sebegitu teruk setelah melihat video-video tular daripada peminat di laman sosial.

“Saya tak marah bila orang berkongsi video tersebut cuma agak terasa bila orang tunjuk keadaan kita. Tapi bila saya tengok balik video itu barulah saya nampak keadaan sebenar saya dan nampak teruk daripada sisi tepi.

“Sebelum ini tengok cermin, nampak bahagian depan sahaja tetapi bila tengok keadaan sebenar dari sisi, saya sedih sebenarnya,” luahnya memetik Gempak.

Zamani turut berkongsikan keadaan semasa tentang penyakitnya dan memberitahu ia akan menjadi semakin teruk jika tidak dirawat.

“Sebenarnya keadaan kesihatan saya semakin teruk sebab saya dah tak boleh nak berdiri tegak. Sekarang saya kena buat pembedahan masukkan besi untuk menyokong tulang belakang.

“Saya agak risau sebab perut sebelah kanan ini makin lama semakin tiada daging. Dia dah ‘kosong’ dan saya takut. Sekarang memang sangat sakit sebab dia dah mencucuk bahagian rusuk.

“Saya nak jalan pun susah apatah lagi bekerja. Buat masa sekarang saya makan ubat tahan sakit sebab belum ada ubat yang dikhaskan untuk scoliosis,” katanya lagi.

Penyanyi berusia 51 tahun itu turut meluahkan rasa bimbang dan takut bagi menjalani pembedahan berkaitan penyakitnya itu kerana pakar perubatan memberitahu peluang untuk kembali sembuh seperti sedia kala sangat rendah.

“Peluang untuk sembuh itu sangat kecil sebab takut hasilnya makin teruk. Saya kena duduk atas kerusi roda.

“Tapi saya tiada pilihan lain dah, saya ingat bila guna cara perubatan tradisional boleh sembuh tapi sekarang tiada perubahan dan semakin teruk,” ujarnya.

Dalam sesi temubual program MeleTOP baru-baru ini, Zamani menceritakan dia menyedari menghidap penyakit tersebut pada tahun 2015 dan scoliosis di dalam tubuhnya telah berusia 20 tahun.

“Kini saya dan doktor masih di peringkat perbincangn kerana pembedahan ini melibatkan banyak pihak seperti isteri saya, keluarga dan juga peminat.

“Saya juga takut sebenarnya, saya sedang berlawan dengan karier saya dan saya juga perlukan banyak sokongan daripada orang sekeliling untuk memberi semangat. Ini pun antara hidup dan mati,” jelasnya lagi.

Vokalis kumpulan Slam itu turut memberitahu bahawa dia bersiap sedia untuk melakukan konsert untuk mendapatkan dana tambahan sekiranya wang simpanan yang ada tidak mencukupi bagi menampung kos rawatannya kelak.

“Dari segi kewangan, simpanan saya ada sedikit dan andai kata tidak mencukupi, saya dan pihak pengurusan ada bercadang untuk membuat konsert atau persembahan untuk mendapatkan dana.

“Buat masa sekarang saya ada komitmen beberapa persembahan tapi keadaan saya memang peminat dah tahu dan saya juga akan cuba buat yang terbaik,” katanya.

Doa dan sokongan daripada orang sekeliling amat diperlukan buat masa ini dan Zamani turut mengucapkan terima kasih di atas kata-kata positif yang diterima sehingga ke hari ini.

“Saya nak berterima kasih pada semua peminat yang mendoakan kesihatan sya. Apa pun yang terjadi selepas pembedahan nanti, saya harap orang boleh terima dan doakan saya.

“Isteri banyak jaga saya, saya bersyukur pada Allah dikurniakan isteri yang baik. Dari masa saya sihat dan sampai sekarang, dia tak henti menjaga saya dengan elok.

“Dia faham saya dan saya takut jadi apa-apa nanti, saya dah sediakan segalanya untuk dia,” luahnya.

Untuk rekod, Zamani dan isterinya Nur Juliana Abdul Rani mendirikan rumah tangga pada September 2019 selepas 14 tahun berkenalan.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

“Selama ini tak pernah terfikir…,” – Iman Troye taruh kreativiti demi showcase solo

PENYANYI, Iman Troye meluahkan rasa teruja bercampur gemuruh apabila namanya dipilih sebagai antara pengisi utama bagi siri persembahan eksklusif,...

More Articles Like This