Keputusan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengundurkan diri daripada urusan harian kelab Johor Darul Ta’zim FC (JDT) disifatkan kerugian amat besar kepada bola sepak negara.
Sehubungan itu, ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon mahu Tunku Ismail terus kekal dan mempertimbangkan semula keputusannya.
Sambil menyatakan rasa terkejut dengan keputusan itu, Pan Gon berkata Tunku Ismail telah meletakkan JDT ke tahap tertinggi sehingga kelab itu layak bermain dalam Liga Juara-Juara Asia.
Malah, menurut jurulatih kelahiran Korea Selatan itu, sumbangan Tunku Ismail bukan sahaja membuatkan JDT mendapat pengiktirafan di seluruh Asia tetapi juga membantu meningkatkan taraf bola sepak kelab di Malaysia.
Sebelum ketibaannya ke Malaysia lagi Pan Gon sudah tahu dan sedar pengaruh besar dimainkan Tunku Ismail dalam bola sepak negara.
“Saya harap Tunku Ismail mempertimbangkan semula keputusannya. Bagi saya, ini adalah satu kerugian amat besar kepada bola sepak Malaysia.
“Dalam masa kurang sedekad, Tunku Ismail berjaya membawa JDT ke tahap lebih tinggi selari dengan semangat cintakan bola sepaknya yang mendalam. Lantaran itu, bola sepak Malaysia sememangnya perlukan TMJ,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Baca artikel berkaitan: Tunku Ismail kurangkan beban pasukan Liga-M
Mengulas lanjut, Pan Gon berkata, Tunku Ismail perlu kekal bukan sahaja demi JDT tetapi juga bagi kepentingan pasukan kebangsaan.
Katanya, JDT telah menyalurkan lebih 15 pemain kepada pasukan kebangsaan malah lebih ramai pemain baru yang lebih baik sedang dalam persiapan.
“Tunku Ismail sentiasa menyokong pasukan kebangsaan sejak awal lagi dan kami amat menghargai jasanya.
“Malah sebelum kedatangan saya, saya sudah mengetahui tentang kemudahan dan infrastruktur latihan JDT adalah bertaraf Eropah.
“Kami menghargai tawaran Tunku Ismail untuk Harimau Malaya berlatih di Johor. Pada sudut pandangan peribadi saya, ia dilihat sebagai satu lagi sumbangan JDT kepada bola sepak Malaysia,” jelas beliau.
Semalam, Tunku Ismail yang juga pemilik JDT mengumumkan berundur dan menyerahkan urusan harian kelab itu kepada pengurusan tertinggi.
Menerusi hantaran di laman Facebook Johor Southern Tigers, Tunku Ismail berkata keputusan itu adalah disebabkan tanggungjawab dan komitmennya yang lain.
Bagaimanapun, Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards memaklumkan, TMJ masih kekal sebagai pemilik dengan memegang saham majoriti biarpun melepaskan tugas berkaitan hal-hal bola sepak dan teknikal kepada pengurusan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

