Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersalaman serta mengucapkan tahniah kepada pemain-pemain Malaysia selepas meluangkan masa menyaksikan perlawanan terakhir Kumpulan E saingan Kelayakan Piala Asia 2023 antara Malaysia dan Bangladesh di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi. GAMBAR: Abd Razak Aid

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob malam ini meluangkan masa menyaksikan perlawanan terakhir Kumpulan E saingan Kelayakan Piala Asia 2023 antara Malaysia dan Bangladesh.

Perdana Menteri tiba di Stadium Nasional di Bukit Jalil pada pukul 8.50 malam dan disambut oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin serta kepimpinan tertinggi badan induk itu.

Turut hadir bagi memberikan sokongan kepada skuad Harimau Malaya ialah Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob gembira ketika menyaksikan perlawanan terakhir Kumpulan E saingan Kelayakan Piala Asia 2023 antara Malaysia dan Bangladesh di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi. Turut kelihatan, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin. GAMBAR: Abd Razak Aid

Hampir 50,000 penyokong setia skuad kebangsaan membanjiri stadium termasuk Ultras Malaya yang merancakkan suasana menerusi paluan gendang sambil bersorak dan menyanyi.

Ini merupakan kali kedua Perdana Menteri turun memberikan sokongan kepada skuad Harimau Malaya selepas turun ke Stadium Nasional di Bukit Jalil Sabtu lalu ketika Malaysia menentang Bahrain.

BERITA BERKAITAN Malaysia garang tewaskan Bangladesh 4 -1, layak ke Piala Asia 2023

Pada malam ini, skuad bimbingan Kim Pan Gon berjaya menewaskan Bangladesh 4-1 yang seterusnya mengesahkan tempat ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

“Sejarah tercipta buat Malaysia! Alhamdulillah, penantian 43 tahun berakhir apabila kita layak ke Piala Asia 2023!

“Tahniah Harimau Malaya dan para pemain yang berjuang hingga ke tiupan wisel terakhir.

“Tahniah juga kepada para penyokong yang menyokong pasukan kita tanpa berbelah bagi. Kita teruskan perjuangan di Piala Asia 2023!,” katanya dalam Facebook miliknya.